Penemuan sehelai coli dalam sebuah
rumah dihuni seorang lelaki warga Indonesia membongkar kehadiran seorang wanita
yang ditemui bersembunyi di atas loteng dalam serbuan Jabatan Imigresen Kedah
di Kampung Teluk Nibung, di sini, awal pagi semalam. Difahamkan,
pada mulanya lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa tinggal bersendirian di rumah
sewa berkenaan sebelum anggota penguat kuasa menggeledah berikutan menemui
pakaian dalam wanita.
Timbalan
Penolong Pengarahnya Othman Mat berkata, pemeriksaan mendapati wanita berusia
30-an itu ditemui dalam keadaan berkemban bersembunyi atas loteng bagi mengelak
ditahan pihak berkuasa.
Menurutnya,
siasatan lanjut mendapati dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c)
Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap lebih masa di mana boleh didenda RM10,000
atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Kami
juga menahan lelaki yang tinggal bersama wanita terbabit atas kesalahan mengikut
Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi warga asing. “Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang
RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap orang yang dilindungi,”
katanya.
Dalam
operasi selama empat jam bermula jam 12 tengah malam disertai 10 anggota
penguat kuasa terbabit membuat pemeriksaan ke atas 20 warga asing terdiri
daripada warga Indonesia di tiga lokasi berasingan termasuk sebuah bangunan
rumah kedai di Alor Setar.
Othman
berkata, pihaknya mendapati 18 daripadanya termasuk seorang kanak-kanak
perempuan dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Menurutnya,
pemeriksaan lanjut mengesan empat lelaki dan dua wanita termasuk seorang
kanak-kanak didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak
memiliki dokumen perjalanan sah.
myMetro/6 Mei 2014
0 comments:
Post a Comment