Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini
membidas cakap-cakap yang wujud konspirasi untuk menggulingkan Datuk Seri Najib
Razak sebagai perdana menteri, mengatakan tidak pernah ada cubaan secara rahsia
untuk menjatuhkan beliau.
Menulis di dalam blognya chedet.cc, bekas perdana
menteri yang ketika ini lantang menentang pentadbiran Najib itu berkata, beliau
selama ini secara terbuka berkempen supaya Najib berundur.
"Adakah wujud konspirasi? Adakah seseorang atau
sesuatu kumpulan yang sedang berkonspirasi atau bergerak dalam diam-diam cuba
menggulingkan Najib? "Sebelum ini mungkin ada,
tetapi selain mereka yang secara senyap-senyap meluahkan ketidakpuasanhati
terhadap pentadbiran Najib, tiada siapa merancang menjatuhkan beliau. "Bukanlah hendak kata mereka mengalu-alukan
beliau meletak jawatan atau mengosongkan kerusinya. Tetapi, tidak ada rancangan
dan tindakan aktif yang dibuat secara rahsia," katanya.
Dr Mahathir berkata, tidak ada konspirasi dalam
pengisytiharan terbukanya meminta Najib meletak jawatan. Dalam gaya biasa bahasanya yang pedas, beliau berkata,
jika dijalankan penyiasatan, tidak perlu khidmat detektif atau ejen khas pun,
semua orang tahu wujud gesaan supaya Najib disingkirkan."Jadi, sekali lagi, di mana konspirasinya!
Semuanya terang-terangan. Tidak perlu berkonspirasi. Kempen supaya beliau
berhenti menjadi perdana menteri diadakan secara terbuka," katanya.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu juga
membidas penyokong Najib yang menegaskan tiada siapa berhak menuntut seorang
presiden Umno yang dipilih untuk berundur, dengan sinis menyatakan mereka
mempunyai "memori yang singkat" kerana sebelum Najib, Tun Abdullah
Ahmad Badawi, yang juga dipilih, diminta melepas jawatan."Singkat sangatkah memori mereka? Tidakkah mereka
ingat, Abdullah yang juga dipilih, diminta oleh Najib untuk berundur. Dan dia
menurut. Dan saya pun, juga perdana menteri yang dipilih, berundur pada
2003," katanya.
Abdullah mengambil alih dari Dr Mahathir apabila
beliau bersara pada tahun 2003, tetapi prestasi teruk Barisan Nasional pada
pilihan raya umum 2008 meningkatkan gesaan terhadapnya supaya meletak jawatan.
Dr Mahathir memulakan kritikannya terhadap Abdullah
sejak 2005 dan malah keluar daripada Umno sebagai protes terhadap kepimpinan
Abdullah pada Mei 2008, dua bulan selepas pilihan raya umum. Abdullah akhirnya mengosongkan kerusinya dan timbalannya,
Najib, mengambil alih pada April 2009.Dr Mahathir kemudiannya memohon semula menjadi ahli
Umno pada 2009, selepas Najib menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir menegaskan, di mana-mana di seluruh dunia,
presiden dan perdana menteri yang dipilih akan berundur apabila diminta atau
dipaksa berbuat demikian.Katanya, di sesetengah negara, sekiranya sesuatu yang
tidak diingini terjadi, menteri dan perdana menteri akan turut meletak jawatan."Oleh itu, jangan jadi bodoh dan kata
memandangkan Najib dipilih, tiada siapa berhak meminta beliau berundur."Abdullah memenangi lebih banyak kerusi pada 2008
dibandingkan Najib pada 2013. Jika Abdullah sedia meletak jawatan, Najib
selepas prestasi beliau yang buruk pada pilihan raya umum, sepatutnya tidak
perlu pun menawarkan diri menjadi perdana menteri."Beliau patut meletak jawatan sebagai presiden
Umno dan ketua BN dan biarkan orang lain menjadi ketua dan menjadi perdana
menteri," katanya. – TMI / 20 Julai, 2015.
0 comments:
Post a Comment