Gelandangan,
fakir miskin, dan kelompok tidak bernasib baik seringkali dilihat sebagai
penyakit oleh mana-mana sistem kerajaan yang mementingkan imej dan estetika
korporat. Gelandangan berlindung di bawah jambatan dikira pencemaran, peminta
sedekah dilihat bajingan. Dan perlahan-lahan masyarakat kehilangan hati dan
perasaan.
Kita akui bahawa
kebanyakan peminta sedekah didalangi sindiket dan juga benar bahawa
kebanyakannya warga asing. Tetapi bagaimana pula halnya dengan mereka yang
benar-benar memerlukan dan sudah hilang punca serta tiada pilihan? Apakah
dengan sekali ‘angkut’ dan dihumban entah ke mana maka masalah orang bernasib
malang ini terus sahaja selesai?
Celakalah pemerintah
yang memalingkan wajahnya daripada mereka yang bernasib malang dan hanya melihat
para fakir miskin sebagai ‘peminta sedekah’.
Tambah bodoh ialah
cadangan untuk mengenakan saman terhadap mereka yang memberi sedekah kepada
golongan yang memerlukan ini. Kebangangan apakah yang sedang berlaku sehingga
berbuat perkara baik pun boleh dihukum? Tambahan pula kenyataan yang begitu
tidak berperikemanusiaan ini dibuat ketika umat Islam sedang berlumba-lumba
berbuat kebajikan di bulan mulia Ramadhan al-mubarak.
Pada masa yang sama,
orang ramai terus mempersoalkan fungsi institusi zakat yang nampaknya begitu
gigih mengutip zakat tetapi sedikit kurang cekap dalam mengagihkan zakat. Lihat
sahaja bagaimana kini sudah ada kemudahan bayar zakat pandu lalu. Namun kalau
mahu buat permohonan bantuan, begitu menyusahkan sehingga selepas berhabis wang
untuk berulang-alik ke pejabat zakat pun belum tentu bantuan akan diberikan.
Pelik sekali bagaimana
manusia semakin lali dan tidak mampu merasa simpati terhadap manusia lain,
dengan hujah-hujah yang begitu tidak manusiawi seperti “jangan terlalu
bergantung kepada bantuan” atau yang lebih sinis “ulat dalam batu pun boleh
hidup.” Barangkali selepas
kenyang dengan harta yang tidak berhak dijamah, hati mereka menjadi keras dan
akhirnya perasaan simpati langsung mati.
Jadi apa masalah kalian
dengan orang miskin? Jijik ya? Mereka kotor, berbau? Kalau demikian persepsi
anda, nescaya tiadalah yang kalian perolehi daripada Ramadhan selain lapar dan
dahaga.-RK
0 comments:
Post a Comment