Sponsor

Tuesday, January 26, 2016

TGHH – “ TPP Tidak Mampu Menjadikan Sumber Kita Untuk Kemajuan Kita Sendiri Tetapi Lebih Menjadi Khadam Atau Abdi Sekali Lagi Kepada Pihak Yang Lebih Besar Dalam Konsep Ekonomi Liberal ”..

KUALA LUMPURMalaysia disifatkan hanya menumpang 'kenderaan orang lain yang lebih canggih dan laju' dalam  Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ini.
Ahli Parlimen (Pas-Marang), Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia diajak menyertai perjanjian itu dengan draf perjanjian telah disediakan terlebih dahulu."Bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya pada zahir."Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisme ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada  mereka, kita hanya  sekadar menumpang kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju perjalanannya dan sudah pasti kita bukan pemandunya," katanya pada sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat khas, di sini, hari ini.

Sesi perbahasan berkaitan TPP bermula hari ini hingga esok sebelum sesi pengundian dijalankan untuk menentukan keputusan penyertaan Malaysia.Akui Malaysia mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya namun dengan sebab menumpang.
"Tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut, akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menenggelamkan kita sehingga mati lemas."Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan sangat membantu negara anggota.
"Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan menembusi pasaran antarabangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ianya akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi liberal kapitalisme, ditambah pula dengan tidak ada akhlak," katanya.
Katanya, kerajaan sepatutnya menunaikan perkara yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri.
"Iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik dan bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar tetapi masih terkebelakang kerana program pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum Bumiputera  masih ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.
"TPP tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalam konsep ekonomi liberal ini," katanya.
Sebelum mengakhiri hujahnya, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas sempat mengajak ahli-ahli Dewan Rakyat menolak TPP demi masa depan negara dan generasi akan datang."Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri dan begitu  optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara, untuk mencorakkan kejayaan di abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita sendiri," katanya.SH/26 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/