Sponsor

Monday, February 1, 2016

Jemaah Pemangku Sultan Belum Buat Keputusan, Kedudukan Mukhriz Sebagai MB Masih Dianggap Selamat..?

Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengakui masih belum ada keputusan dibuat hasil perbincangan dengan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam satu pertemuan hari ini. Beliau yang juga Adun Bakar Bata memberitahu media, beliau hanya menjawab soalan yang ditanya oleh Jemaah dan tidak dimaklumkan apa-apa keputusan."Adalah dua, tiga soalan mereka tanya. Saya tak tau apa-apa keputusan," katanya yang enggan mengulas lanjut ketika keluar dari kawasan Wisma Darul Aman kira-kira 5.50 petang.
Sebelum ini, sebanyak 20 daripada 21 Adun BN hadir pada majlis mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini. Majlis menghadap itu dipercayai diadakan berikutan krisis politik membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah. Petugas media tidak dibenarkan masuk ke Wisma Darul Aman dan hanya dibenarkan menunggu di luar pagar kompleks kerajaan negeri Kedah.
Difahamkan, pada awalnya majlis menghadap yang diadakan di Blok E bangunan itu hanya melibatkan 20 Adun tanpa kehadiran Mukhriz. Bagaimanapun difahamkan Mukhriz kemudiannya turut dipanggil ketiga-tiga anggota Jemaah selepas selesai pertemuan dengan 20 Adun berkenaan. Kenderaan yang membawa Mukhriz, yang juga Adun Ayer Hitam, dilihat menuju ke Blok E kira-kira 4.25 petang.
Sementara itu, Adun Guar Chempedak, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, beliau tidak pasti sampai bila isu ini akan berlarutan dan enggan mengulas lanjut pertemuan itu. "Saya nak balik rehat, saya tak tahu sampai bila benda ini akan berlarutan. Tiada komen...saya tak boleh ulas, kita jumpa lain kali," katanya.   
Seorang lagi Adun, yang enggan namanya dinyatakan, berkata semua Adun dipanggil secara berseorangan bagi menyatakan pendirian mereka berhubung isu membabitkan Menteri Besar."Selepas menghadap seorang demi seorang, kami terus balik," katanya yang enggan mengulas lanjut.
Kenderaan rasmi yang membawa Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah,  Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dilihat keluar dari Wisma Darul Aman pada 5.20 petang diikuti kenderaan rasmi Menteri Besar. Sebelum itu, kenderaan yang membawa anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah tiba di Wisma Darul Aman pada 2.40 petang, diikuti seorang lagi anggota jemaah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah pada 2.55 petang. Tunku Sallehuddin tiba kira-kira 3 petang.

Krisis politik di Kedah tercetus berikutan Adun dan anggota Parlimen Umno Kedah, dan pimpinan kanan Umno Kedah, yang diketuai Ahmad Bashah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Umno Kedah. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/