Sponsor

Monday, January 25, 2016

Singkir Mukhriz, Petanda Awal Umno BN Kedah Akan Tumbang Dalam Pilihanraya 14.


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mereka yang berusaha menggulingkan Datuk Seri Mukhriz tidak mempunyai rekod kepimpinan yang baik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Januari, 2016.
Cubaan pimpinan Umno Kedah menyingkirkan menteri besar negeri itu akan memakan diri, kerana Barisan Nasional (BN), parti pemerintah di negeri itu, akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. 
Bekas perdana menteri yang juga bapa menteri besar itu berkata, mereka yang berusaha  menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga tidak mempunyai rekod kepimpinan yang baik. "Saya tidak mengatakan supaya jangan tukar menteri besar, tetapi tahu apa akibatnya.
"Mereka menyebabkan BN tewas kepada PAS (pada tahun 2008). Oleh itu, jika mereka mengambil alih, kemungkinan mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang," beliau dipetik berkata Mstar Online, hari ini. 
Dr Mahathir yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga menasihati anaknya itu tiada perkara yang mustahil dalam berpolitik. "Apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Tak ada apa yang kekal. Anda ada rakan dan musuh. "Kadang-kadang rakan berkelakuan seperti musuh dan kadang-kadang musuh akan berkelakuan seperti kawan," katanya menurut laporan portal berita itu. 
Kepimpinan Umno Kedah sebelum ini menggesa campur tangan Najib menggugurkan Mukhriz sebagai menteri besar dan ketua perhubungan Umno negeri susulan kegagalannya membentuk jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kemelut tersebut tidak boleh dibiarkan berpanjangan memandangkan Umno dan BN perlu bersedia menghadapi PRU akan datang. Beliau juga menyatakan kesediaan menerima sebarang keputusan Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi BN, berdasarkan kepada hak prerogatif yang ada padanya.
Berhubung khabar angin kononnya beliau akan diangkat menjadi menteri besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz, Ahmad Bashah berkata, terpulang kepada keputusan Najib selaku presiden parti."Terpulang kepada presiden parti, itu hak beliau, siapa-siapa pun yang jadi menteri besar kami akan sokong. Kami yakin dengan kebijaksanaan beliau (Najib)," katanya.
Suasana politik di Kedah “panas” sejak Rabu lalu apabila Mukhriz menerima tekanan daripada ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai Ahmad Bashah, secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.Berikutan itu, Mukhriz menegaskan beliau akan kekal sebagai menteri besar selagi khidmatnya diperlukan rakyat Kedah.   Krisis itu berterusan apabila Ahmad Bashah bersama sebahagian besar kepimpinan Umno Kedah mengadakan pertemuan dengan Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Jumaat berhubung desakan mereka supaya Mukhriz berundur. TMI/25 Januari, 2016.    

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/