Sponsor

Monday, December 1, 2014

DAP Tuntut Kerusi Timbalan Speaker DUN Selangor Seperti Dijanjikan Azmin..?.. Ada Perjanjian Rupanya..!

DAP terus menuntut janji Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali untuk beri kerusi timbalan speaker Dewan Undangan Negeri kepada parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Disember, 2014.
DAP Selangor akan meneruskan tuntutannya kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang berjanji sebelum ini memberi kerusi timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada parti itu.
Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim berkata, kerusi itu amat penting bagi mereka selepas menunjukkan kesetiaan penuh kepada PKR dan Pakatan Rakyat (PR) semasa krisis menteri besar 5 bulan lalu.
"Kita tidak berganjak dengan pendirian kita, tetap istiqamah. Walaupun kita terpaksa diserang pelbagai pihak, kita tidak berbelah bahagi untuk (menyokong) PKR dalam PR," katanya kepada pemberita di luar sidang DUN di Shah Alam, hari ini.
Isnin minggu lalu, Adun Bangi daripada PAS, Mohd Shafie Ngah dilantik timbalan speaker selepas mendapat undi majoriti ahli Dewan. Azmin semasa awal pentadbirannya berjanji memberikan kerusi itu kepada PAS, sebagai ganti kepada kerusi exco PAS yang dikurangkan menjadi 3.
Ng berkata, permintaan itu juga wajar bagi DAP Selangor memandangkan ia mempunyai 15 kerusi DUN, lebih banyak daripada PKR. Beliau turut mengakui wujudnya perjanjian selepas tamatnya kemelut menteri besar, di mana Majlis Pimpinan PR bersetuju melantik seorang lagi timbalan speaker. "Persoalannya sekarang, kenapa PKR boleh ada menteri besar, tambah (kerusi) exco? Itu persoalan yang timbul," katanya merujuk situasi semasa di mana bilangan kerusi PKR di Selangor lebih kecil daripada DAP.
Katanya, DAP akan bertemu Azmin bagi membincangkan tuntutan itu dalam masa terdekat sebelum membawa perkara itu ke dalam sidang DUN. "Jawatan itu boleh dibuat dengan mengubah enakmen sahaja, tetapi persetujuan mesti lebih dahulu dicapai di kalangan komponen PR," katanya.
Selain Dewan Rakyat, DUN di Sabah dan Perak juga mempunyai dua kerusi timbalan speaker.
Ng semasa undian secara sulit dalam DUN hanya mendapat 14 undi, tewas kepada Shafie yang mendapat 28 undi. Manakala, semua 12 wakil rakyat Barisan Nasional sepakat mengambil sikap berkecuali apabila tidak turut serta dalam proses pengundian.
Kerusi timbalan speaker DUN sebelum ini kosong berikutan penyandangnya Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan bagi membolehkannya dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (exco).

TMI/1 Disember, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/