Sponsor

Sunday, December 21, 2014

Dr Mahathir Menjaja ‘Ketakutan’ Untuk Dapatkan Sokongan Yang Kian Merosot Terhadap Kuasa Melayu...?

Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menafikan orang Melayu di negara ini terpaksa mengemis demi kuasa politik, sebaliknya menegaskan kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu memalukan kepimpinan negara. Ahli Parlimen PR berpendapat, pengemis yang dimaksudkan Dr Mahathir adalah parti Melayu Umno, dan bukannya komuniti Melayu di negara ini seperti didakwa beliau.
"Umno sebenarnya yang jadi pengemis terdesak, bukan orang Melayu," kata Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Zairil Khir Johari (gambar) dalam kenyataannya hari ini.
"Saya amat sedih dengan hakikat seorang pemimpin terhormat seperti Dr Mahathir mampu merendahkan diri sehingga menggambarkan senario yang bukan sahaja mustahil tetapi juga tidak lebih daripada satu muslihat tipu daya," kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu lagi.
Dr Mahathir semalam dilaporkan berkata, komuniti Melayu yang membentuk sejumlah 60% daripada keseluruhan populasi di negara ini seharusnya mempunyai kuasa politik untuk memerintah, namun kuasa itu katanya kini semakin lemah. "Sekarang Umno, PKR, dan PAS terpaksa merayu kepada DAP untuk menang pilihan raya. Apabila kita menjadi pengemis, kita tidak lagi ada kuasa," katanya ketika berucap di Program Kepimpinan Belia di Kuala Lumpur.
Beliau turut memberi amaran, walaupun Malaysia mencapai status negara maju, Melayu akan terus ketinggalan dan itulah nasib bangsa tersebut hari ini.
Zairil berkata, dominasi Melayu dalam setiap aspek masyarakat Malaysia sebenarnya berada di kemuncak terutamanya dari aspek politik apabila setiap jawatan penting kerajaan, daripada perdana menteri kerajaan Persekutuan dan 12 daripada 13 menteri besar negeri dipegang oleh orang Melayu. "Dominasi Melayu juga sangat jelas dalam institusi-institusi negara seperti badan kehakiman, pasukan polis, perkhidmatan awam dan tentera. Jika itu tidak mencukupi, Melayu juga membentuk majoriti penduduk Malaysia, selain mencatatkan kadar kesuburan yang satu setengah kali lebih daripada orang Cina. Ini bermakna orang Cina dan kaum-kaum lain semakin mengecil dari segi populasi penduduk," katanya.
Tambahnya lagi, meskipun pemilikan ekuiti Melayu pada tahun-tahun awal Dasar Ekonomi Baru mungkin dalam digit tunggal, pemilikan ini berkembang dengan pesat sejak beberapa dekad lalu. Menurut Bank Pembangunan Asia, ekuiti yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia dan penanda aras pasaran Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) masing-masing berada pada kadar 36 % dan 54 %.
"Ini bermakna sebahagian besar ekonomi negara kita dikuasai oleh GLC yang secara umumnya dikuasai oleh orang Melayu." "Dan jika semua di atas tidak mencukupi, kedudukan istimewa Melayu juga termaktub dalam Perlembagaan. Selain itu, bukan sahaja sebarang pindaan Perlembagaan yang melibatkan kedudukan Melayu memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen (yang dalam erti kata lain memerlukan sokongan penuh Melayu), ia juga memerlukan kelulusan Raja-raja Melayu. Jaminan ini bermakna tidak akan ada sebarang ancaman terhadap orang Melayu di negara ini," tambahnya.
Beliau berkata, dengan prestasi Umno yang semakin terdesak, tidak menghairankan Umno dan Dr Mahathir terpaksa menjaja ketakutan serta memilih cara terdesak untuk memulihkan sokongan sokongan yang merosot.

TMI/21 Disember 2014 - DR MAHATHIR,KEGAGALAN UMNO JADIKAN MELAYU ‘PENGEMIS’,KATA PEMIMPIN PAKATAN..

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/