Sponsor

Wednesday, December 3, 2014

MB Selangor – Tiada Janji Untuk Jawatan Timbalan Speaker II Untuk DAP..?

Mohamed Azmin Ali berkata penentuan satu lagi jawatan timbalan speaker di Selangor boleh dibincangkan dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. – Gambar The Malaysian Insider, 3 Disember, 2014.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak pernah berjanji mewujudkan jawatan timbalan speaker II seperti dibangkitkan DAP.
Kenyataan Azmin sebagai respon kepada Timbalan Setiausaha DAP Selangor Ng Suee Lim baru-baru ini menuntut janji yang dibuat kepada parti itu.
"Tak timbul janji. Kalau janji tidak payah bincanglah," kata Azmin kepada wartawan di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Azmin berkata, perkara yang dibangkitkan itu akan dibawa ke mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) untuk mencari jalan penyelesaian. "Kita sudah setuju perkara ini akan dibincangkan ke peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. "Perkara ini memang ada dibangkitkan oleh DAP dan saya sudah pun mengadakan perbincangan dengan Tony Pua (Pengerusi DAP Selangor). Perkara seperti ini harus diputuskan oleh kepimpinan tertinggi," katanya.
Azmin memberitahu, pada waktu ini masih kekal satu jawatan timbalan speaker.
Isnin minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi daripada PAS, Mohd Shafie Ngah dilantik sebagai timbalan speaker selepas mendapat undi majoriti Adun bagi menggantikan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad. Azmin pada awal pentadbirannya berjanji memberikan kerusi itu kepada PAS, sebagai ganti kepada kerusi exco PAS yang dikurangkan menjadi 3.

Ng berkata, permintaan itu juga wajar bagi DAP Selangor memandangkan ia mempunyai 15 kerusi DUN, lebih banyak daripada PKR yang hanya mempunyai 13, selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Adun bebas. – TMI/3 Disember, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/