Sponsor

Tuesday, December 30, 2014

Pulau Pinang Di Landa Ribut, Puluhan Rumah Rosak Teruk..


Ribut di Balik Pulau, Pulau Pinang malam tadi menyebabkan pokok tumbang di atas kenderaan dan jalan raya. – Gambar The Malaysian Insider, 30 Disember, 2014.
Sekurang-kurangnya 10 rumah di Balik Pulau hampir musnah setelah dilanda ribut dan angin kencang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong Muhammad Farid Saad berkata beliau mendapat laporan terdapat lebih 10 buah rumah di sini termasuk di Kampung Sungai Rusa, hampir musnah apabila bumbung rumah ditiup angin kencang.
Beliau berkata angin kencang yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam mengakibatkan banyak pokok tumbang menghalang jalan. "Saya ke Jalan Sungai Pinang untuk membantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengambil masa lebih 45 minit untuk memotong pokok besar bagi membuka balik jalan kepada orang ramai," katanya.
Sementara itu, menurut seorang jurucakap polis, terdapat lebih 9 kejadian pokok tumbang di kawasan Balik Pulau dan satu kejadian kabel elektrik terputus dilaporkan.
Katanya seorang pemandu dikejarkan ke Hospital Balik Pulau selepas keretanya dihempap pokok yang tumbang di Jalan Tun Sardon. Beliau berkata kecederaan lelaki masih belum dapat dipastikan tetapi keretanya rosak teruk. "Antara lokasi kejadian pokok tumbang termasuk Jalan Tun Sardon, Jalan Sungai Pinang, Jalan Pondok Upeh, Jalan Titi Teras, Lintang Pokok Upeh dan Jalan Sungai Pinang," katanya. – Bernama, 30 Disember, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/