Sponsor

Thursday, December 11, 2014

Akta Hasutan - Duta Amerika Syarikat Dipanggil Wisma Putra Untuk Dapatkan Penjelasan...


Wisma Putra panggil Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Joseph Y Yun hari ini berhubung keputusan Malaysia kekal Akta Hasutan 1948, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.  – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Disember, 2014.
Wisma Putra memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia Joseph Y Yun hari ini untuk menjelaskan pendirian negaranya terhadap keputusan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Kuala Lumpur kesal duta AS itu memilih untuk memberikan komen tidak wajar berhubung keputusan kerajaan, berikutan pendirian tegas Malaysia terhadap kesederhanaan dan toleransi.
"Malaysia kesal dengan komen dibuat Yun berhubung perkembangan terbaru dalam keputusan kerajaan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Duta itu dalam satu temubual dengan sebuah portal berita dalam talian pada 6 Disember berkata AS 'terkejut' dengan keputusan Malaysia untuk mengekalkan Akta Hasutan.
Sehari sebelum itu, Naib Presiden AS Joe Biden turut mengulas tentang Akta itu dan mengenai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anifah berkata Malaysia menggesa kerajaan AS menghormati hal ehwal dalaman negara dan memberikan Malaysia ruang, yang amat diperlukan semua negara dengan demokrasi matang untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan berterusan. "Malaysia ingin mengingatkan semua pihak keputusan berhubung Akta Hasutan adalah kuasa mutlak kerajaan," katanya.
Beliau berkata sebarang keputusan kerajaan berhubung akta itu merupakan hal ehwal dalaman dan sebarang komen tidak wajar berkaitan perkara itu akan dianggap sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara.
Anifah berkata Akta Hasutan tidak mengekang penyuburan demokrasi tetapi merupakan langkah pencegahan untuk memastikan tiada pihak menghasut bagi mencetuskan ketegangan agama dan kaum yang akan menjejaskan keamanan dan kestabilan di negara ini. "Kerajaan Malaysia kekal komited untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian dalam negara dan melindungi nilai, norma dan amalan penduduk pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama di Malaysia,” katanya. – Bernama, 10 Disember, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/