Enakmen Mahkamah Jenayah Syariah
Kelantan II yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu pada
1993 bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Karpal Singh (gambar).
Bekas pengerusi DAP itu berkata, DUN
Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan enakmen itu manakala Parlimen
tidak boleh menguatkuasakan enakmen yang bercanggah dengan Perlembagaan.
“Hudud jelas bukan undang-undang pada
masa dan zaman ini. Hanya Parlimen yang berhak meluluskan undang-undang
jenayah. “Hudud beri implikasi dan akibat yang
sangat serius. Parlimen tidak akan dan tidak boleh meluluskan enakmen
tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad
Yakob berkata negeri itu akan membentangkan usul rang undang-undang
persendirian menerusi ahli Parlimennya bagi membuat pengisytiharan Enakmen
Mahkamah Jenayah Syariah Kelantan II atau hudud agar dapat dilaksanakan di
negeri itu. Katanya, jika Parlimen meluluskan
usul itu, kerajaan Kelantan akan melaksanakan hudud seawal tahun hadapan.
Karpal berkata apa yang dikatakan
Ahmad tidak tepat dan pendirian DAP jelas sejak dahulu lagi berhubung
pelaksanaan hudud dan tiada kompromi mengenainya. Katanya, apa yang dipegang DAP
menjadi asas penting parti dan membawa usul hudud bukanlah menjadi perkara
utama negara. Karpal semasa menghadiri rumah
terbuka Deepavali di George Town, Pulau Pinang pada hujung tahun lalu merayu
kepada rakan sekutunya, PAS agar tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan
hudud di Kelantan.
Katanya, DAP tetap tegas menentang
pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
MI/3 April, 2014.
0 comments:
Post a Comment