Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan atau
permintaan kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk Darjah
Kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran
"Datuk Seri" kepadanya pada 1992, namun darjah kebesaran itu
dikurniakan kepadanya atas perkenan bekas Sultan Selangor itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya hari ini, Anwar
berkata, beliau akan tetap meneruskan tugas sebagai Penasihat Ekonomi Selangor,
namun akan sentiasa menjunjung Perlembagaan negara, Raja berperlembagaan, dan
demokrasi berparlimen di negara ini.
"Saya mengambil maklum, berdasarkan kenyataan media
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Darjah Kebesaran
Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) ditarik balik berkuatkuasa 3
November 2014.
"Darjah Kebesaran S.S.S.A.
ini dikurniakan kepada saya pada tahun 1992 oleh Almarhum Tuanku Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah tanpa saya membuat sebarang permintaan atau
permohonan, dan saya menjunjung kasih terhadap ihsan Almarhum Tuanku yang
berkenan untuk mengurniakan penghormatan ini kepada saya," katanya, dalam
kenyataan itu, tanpa menggunakan gelaran "Datuk Seri".
"Saya akan tetap menjalankan tugas-tugas saya, terutama
dalam menjunjung Perlembagaan negara, Raja berperlembagaan dan demokrasi
berparlimen serta akan sentiasa mendokong perjuangan untuk meningkatkan
martabat Rakyat.
"Pada masa yang sama, saya akan terus bertugas sebagai
Penasihat Ekonomi Selangor demi menjaga kepentingan negeri Selangor dan
rakyatnya," kata Anwar.
TMI/4 Disember 2014
0 comments:
Post a Comment