Sponsor

Thursday, December 25, 2014

Hikmah Banjir Menguji Keutuhan Iman...



BANJIR besar yang sedang melanda kebanyakan negeri ketika ini terhasil dari banyaknya taburan hujan dan tiupan angin monsun. Ia adalah sunnatullah ke atas alam ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya." (al-Mukminun: 18)


Demikian itu perlu kita mengimani, bahawa situasi yang sedang berlaku ini adalah dengan pengetahuan dan kekuasaan-Nya. Allah sedang menguji kita dengan curahan bermanfaat berupa rahmat dan rezeki. Dia juga sedang menguji keutuhan iman kita dengan melandakan sedikit kesukaran yang pasti Dia akhiri tempoh ini.

Maka kita sebagai hamba-Nya, wajib mensyukuri, berdoa dan bersabar untuk menerima atau menghadapi semua ketentuan ini. Firman-Nya yang bermaksud: "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi serta kepada-Nyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai terhadap perbuatan yang kamu lakukan." (Hud: 123)

PAS merakamkan simpati terhadap situasi yang sedang dihadapi kebanyakan penduduk di daerah banjir. Situasi sukar bersifat sementara yang menguji kemampuan ini wajib dihadapi dengan sabar.

Dalam menghadapi pelbagai situasi tidak terduga ini, PAS menasihati untuk saling tolong-menolong dan cakna antara satu sama lain serta mengikuti arahan pihak berkuasa.

Jentera PAS di semua peringkat sedang digerakkan bagi menghulur bantuan sedaya termampu. Kita berharap ia diterima seadanya. PAS juga dengan ini mengarahkan seluruh jenteranya untuk meneliti keperluan munasabah kepada mangsa banjir dan memberi khidmat dengan ikhlas serta kesantunan berhemah. Kepada seluruh petugas dari badan dan agensi kerajaan, PAS meminta agar urusan bantuan dilaksanakan dengan penuh amanah dan adil tanpa menghitung latar belakang politik. Insya-Allah, dedikasi anda akan dihitung pahala serta bakal beroleh ganjaran di sisi Allah kelak.

Kepada Kerajaan Persekutuan, saya mengesyorkan agar diumum peruntukan khas bagi setiap keluarga dan individu mangsa banjir khususnya para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.-HD/24 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/