Polis hari ini mengesahkan kes
letupan di sebuah rumah di Taman Ria Mesra, Gurun yang mengorbankan tiga nyawa
Rabu lepas berpunca daripada peluru pelancar roket anti kereta kebal.
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata
peluru berkenaan, "High Explosive Anti-Tank" adalah jenis yang
digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). "Letupan itu berpunca daripada peluru pelancar
roket, yang digunakan untuk memusnahkan kereta kebal," katanya.
Bercakap pada sidang media
selepas melawat lokasi kejadian hari ini, beliau berkata pihaknya akan
bekerjasama dengan ATM untuk menyiasat perkara itu. Katanya, pihaknya percaya terdapat lebih daripada satu
bom yang meletup kerana kawasan kawah letupan itu luasnya kira-kira 1m, tetapi
siasatan masih dilakukan. "Bom (peluru) itu memang digunakan oleh ATM dan
mangsa yang meninggal itu cuba mengabstrak item berharga di dalam peluru,"
katanya.
Zakaria berkata polis kini masih mengutip serpihan
daripada bom yang meletup untuk membantu siasatan selain merakam percakapan
daripada penduduk taman berkenaan. "Kita juga mendapat kerjasama baik daripada ATM
demi meningkatkan SOP (standard operation procedure), jika ia perlu diperbaiki. "Kita akan teruskan siasatan untuk mengenalpasti
macam mana bom (peluru) itu dibawa keluar daripada kem latihan tentera,"
katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata sehingga kini polis
menerima 61 laporan polis berhubung kerosakan rumah yang dialami penduduk taman
terbabit.
Dalam kejadian Rabu lalu, sebuah bom meletup di rumah
milik seorang anggota tentera menyebabkan tiga maut dan dua mangsa cedera
parah, manakala lebih 40 rumah terjejas akibat kesan letupan.
Letupan kira-kira 4.45 petang itu menyebabkan seorang
anggota tentera, Ayub Hashim, 34; anak perempuannya berusia lapan tahun Nur
Idayu Syahirah Ayob; serta anak jirannya Aqif Mohd Sharizal, 4, maut. Sementara itu, isteri Ayob, Sharifah Azlina Hashim,
30, yang mengandung enam bulan, dan jirannya Zuraida Mat Rotebe, 30, (ibu Aqif)
cedera parah.
Anak dalam kandungan Sharifah Azlina dilaporkan
meninggal akibat kejadian itu. – Bernama, 27 Disember, 2014.
0 comments:
Post a Comment