KETEGASAN DAP memperjuangkan hak bukan Islam Malaysia untuk menggunakan kalimah
ALLAH dan kitab Bible BM amatlah mengkagumkan. Mereka berani mempertahankan apa yang
dirasai betul, pada pendapat mereka, mengikut tafsiran mereka pada perlembagaan
dan hak asasi manusia, meskipun terpaksa berdepan dengan cemuhan dan kritikan
yang bertubi-tubi.
Tapi mengapa DAP mengambil sikap
konfrontasi terhadap Pas yang ingin memperjuangkan agar hukum hudud
dilaksanakan di Kelantan?
Hukum hudud adalah sebahagian daripada
tuntutan agama orang Islam, yang wajib ditunaikan jika mampu. Ini adalah satu
hak orang Islam untuk melaksanakan tuntutan agama mereka.Keinginan orang Islam untuk melihat
pesalah-pesalah beragama Islam diadili menggunakan hukum yang ditentukan ALLAH
dan bukan manusia perlu dihormati dan diberi ruang.
Sikap DAP yang sering mempertikaikan
hasrat Pas untuk melaksanakan hudud telah menyebabkan masyarakat bukan Islam
melihat hukum hudud jauh lebih teruk berbanding rasuah di dalam Umno.Ini terbukti apabila DAP menyatakan
Putrajaya tidak akan dicapai oleh PR sekiranya hukum hudud dilaksanakan.Kenyataan DAP itu membina persepsi
seolah-olah rasuah di dalam Umno boleh diterima bukan Islam berbanding hukum
hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas Kelantan untuk mengotakan janjinya kepada
rakyat Kelantan yang menyokongnya selama 23 tahun.
Betul kata DAP, orang bukan Islam yang
menyokong PR tidak mengundi untuk hukum hudud dilaksanakan. Tapi rakyat
Kelantan yang beragama Islam menyokong Pas pula mengundi untuk sebaliknya.
Betul hak bukan Islam perlu dihormati, tapi hak rakyat Kelantan turut tidak boleh
diabaikan.Sekiranya DAP boleh memahami perasaan
orang Kristian yang dinafikan hak mereka menggunakan nama ALLAH dan Bible BM,
mengapa DAP tidak boleh bertimbang rasa dengan perasaan rakyat Kelantan yang
mengundi PAS kerana janjinya untuk melaksanakan hukum hudud?
DAP tak perlu bantah hudud sehinggakan
hak orang Islam di Kelantan yang inginkan hukum hudud dilaksanakan turut
dinafikan.Jika DAP terus nak bantah hudud pun,
biarlah ia sekadar memperjuangkan agar bukan Islam tidak tertakluk pada hukum
hudud – sebagaimana keberanian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
menyatakan orang bukan Islam tidak tertakluk pada fatwa yang melarang mereka
untuk menggunakan 40 perkataan yang dikhaskan untuk orang Islam. Cukuplah berpolemik dalam hudud untuk
menjauhkan bukan Islam daripada Pas, kerana pada masa yang sama, sikap hipokrit
kamu dalam memperjuangkan hak-hak bukan Islam juga terdedah untuk tatapan
ramai.
DAP suka bercakap mengenai rasuah,
teruskan usaha itu kerana itu adalah persamaan perjuangan Pas, PKR dan DAP.
Biar rakyat nampak rasuah adalah masalah lebih besar yang sedang menyakitkan
negara ini dan bukannya hukum hudud yang cuba dilaksana di Kelantan secara
demokrasi dengan melalui Parlimen.
Kalau DAP bangkitkan hukum hudud lagi,
bolehlah kita sama-sama minta mereka fokus pada isu rasuah ya, kerana mereka
bersetuju bahawa itu adalah isu yang lebih penting. Yang lain, kita boleh bersetuju
untuk tidak bersetuju.
SH/23 Disember 2014- Nak Guna kalimah
Allah,Tapi Tolak Hudud ? Oleh TIMMY SAY
0 comments:
Post a Comment