LONDON – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif
(CEO) sebuah syarikat penerbangan Perancis, Marc Dugain mendakwa, pesawat
Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu terhempas kerana
ditembak oleh tentera Amerika Syarikat (AS), lapor Mail Online kelmarin.
Dugain berkata, tentera AS yang
berpangkalan di pulau Diego Garcia, Lautan Hindi menembak pesawat berkenaan
kerana menyangka pesawat tersebut telah dirampas dan bakal digunakan untuk satu
serangan pengganas.
Beliau merupakan bekas CEO syarikat
Proteus Airlines tetapi syarikat berkenaan sudah tidak lagi wujud.
Dugain memberitahu akhbar Paris Match,
teori itu berdasarkan dakwaan beberapa penduduk di kepulauan Maldives yang
terletak berhampiran Diego Garcia bahawa mereka melihat pesawat jenis Boeing
777 berkenaan terbang rendah. “Beberapa nelayan di sebuah pulau kecil
di Maldives memberitahu saya, mereka melihat sebuah pesawat besar yang
mempunyai warna menyerupai pesawat MAS terbang rendah pada 8 Mac lalu,” katanya.
Dia juga mendakwa, ada penduduk di
Maldives menemui satu alat pemadam api yang kosong dipercayai milik pesawat
MH370 di satu kawasan perairan berhampiran pulau Baarah. Dalam satu wawancara dengan sebuah
stesen radio Perancis baru-baru ini, Dugain yang kini menjadi penulis novel
mendakwa, sumber perisikan memberi amaran kepadanya supaya tidak menyiasat
kehilangan pesawat berkenaan. “Sumber perisikan itu juga memberitahu
bahawa saya kini berdepan risiko tinggi dan menasihati saya supaya tidak
meneruskan siasatan,” katanya.
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239
penumpang hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur,
Malaysia menuju ke Beijing, China. Sehingga kini, punca pesawat berkenaan
berpatah balik sebelum terputus hubungan masih kekal misteri. Pihak berkuasa Australia sedang
mengetuai operasi mencari pesawat berkenaan yang dipercayai terhempas di satu
kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, barat Australia. – Agensi//Kosmo
24 Disember 2014
0 comments:
Post a Comment