Sponsor

Tuesday, December 23, 2014

Banjir : Kenyataan Media Datuk Menteri Besar Kelantan..


Banjir di Negeri Kelantan masih lagi tidak menunjukkan petanda akan surut bahkan keadaan semakin mencemaskan. Musibah banjir ini adalah ujian Allah kepada kita semua yang telah ditetapkan bagi menguji keimanan dan kesabaran hamba-Nya. Oleh itu, kita wajib menerima dengan penuh lapang dada dan tabah.
Firman Allah yang bermaksud: “ Tiada sesuatu kesusahan atau bala bencana yang ditimpakan di muka bumi dan yang menimpa diri kamu, melainkan telah termaktub di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah teramat mudah bagi Allah ”.
( Surah Al-Hadid : 22 )
Oleh yang demikian, bersabarlah dengan musibah ini dan jangan sampai kita hilang perasaan sabar dengan berputus asa atau berprasangka buruk seakan-akan Allah tidak akan memberikan kita kebaikan pada masa hadapan disebabkan banyaknya kemusnahan atau kehilangan harta kita.
Pihak Kerajaan sebelum ini telah mengarahkan semua Jabatan-jabatan Negeri dan Persekutuan agar turun membantu mangsa-mangsa banjir disemua lokasi pemindahan. Junjung kasih di persembahkan kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan, di atas keprihatinan baginda mencemar duli turun meninjau kesusahan rakyat serta memberi sumbangan kepada mangsa banjir. Termasuk juga Tengku Temenggong beserta Tengku Puan Temenggong Kelantan yang sanggup meluangkan masa bersama mangsa banjir. Tidak lupa juga kepada semua pihak termasuk Pihak Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri dan Jajahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Pasukan Keselamatan, Pasukan Perubatan, pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan dan seluruh sukarelawan yang berada di setiap lokasi banjir dan pusat pemindahan bagi kemudahan dan keselamatan orang ramai.
Disini, saya menyeru semua pihak kepimpinan dan rakyat khususnya pihak yang berwajib agar menganjurkan solat hajat dan bermunajat di seluruh masjid dan surau di seluruh Kelantan bermula pada hari ini bagi memohon kepada Allah agar dilindungi rakyat Negeri Kelantan khasnya dan Malaysia amnya daripada segala musibah banjir yang tidak mampu dihadapi oleh kudrat manusiawi. Diharap pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Halaqat, para guru pondok dapat mengepalai masyarakat bagi tujuan memudahkan urusan solat hajat tersebut.
YAB USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
1 Rabiul Awwal 1436/ 23 Disember 2014

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/