Anggota mencari dan menyelamat
(SAR) Indonesia menemui mayat terapung di lautan hari ini dalam operasi mencari
pesawat AirAsia penerbangan QZ8501 yang hilang sejak Ahad, kata Ketua
Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia Bambang Soelistyo di sidang akhbar yang
diadakan di Jakarta, hari ini.
Al-Jazeera turut melaporkan 6
mayat ditemui di Laut Jawa berhampiran di mana serpihan pesawat itu ditemui. Waris 162 penumpang dan anak kapal pesawat itu yang mengikuti
sidang akhbar itu dari pusat krisis di Surabaya kelihatan saling berpelukan dan
menangis.
Ahli keluarga menangis penuh emosi ketika menonton rakaman
menunjukkan mayat terapung di lautan di sidang akhbar itu.
“Pada jam 1.25 petang, kami melihat objek terapung
dipercayai mayat salah seorang penumpang,” katanya.
Situasi di pusat krisis di Surabaya itu tegang dan
penuh emosi, dengan ada yang menjerit dan menangis tidak berhenti.
Seorang lelaki pengsan dan terpaksa dibawa keluar
dengan pengusung.
Bambang berkata satu pesawat tentera udara hari ini
menemui 'bayang' di dasar lautan dipercayai pesawat AirAsia yang hilang itu.
“Tuhan merahmati kita hari ini.
“Pada 12.50 tengah hari pesawat tentera udara Hercules
menemui objek digambarkan sebagai bayang di dasar lautan dalam bentuk kapal
terbang,” katanya.
Bambang berkata pencarian kini akan tertumpu di lokasi
di mana “bayang” dan serpihan itu ditemui, kira-kira 160km barat daya bandar
Pangkalan Bun.
“Semua anggota mencari dan menyelamat akan dipindahkan
ke lokasi itu.
“Tugas mereka ialah untuk mencari dan memindahkan
semua objek atau mayat penumpang.
“Saya akan pastikan semua dibawa ke Pangkalan Bun,
lokasi paling hampir dengan lokasi objek,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan serpihan yang ditemui hari
ini dalam operasi pencarian udara pesawat AirAsia penerbangan QZ8501 disahkan
sebagai sebahagian daripada pesawat yang hilang itu, lapor AFP memetik
kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo.
“Untuk masa ini, boleh disahkan ia adalah pesawat
AirAsia dan menteri pengangkutan akan bertolak secepat mungkin ke Pangkalan
Bun.
“Berdasarkan kepada pemerhatian anggota mencari dan
menyelamat, beberapa benda penting ditemui seperti pintu penumpang dan pintu
kargo. Ia di lautan, 160km barat daya Pangkalan Bun,” katanya merujuk kepada
bandar di Kalimantan Tengah, di kepulauan Borneo.
Anggota pencari dan penyelamat Indonesia awal hari ini
menemui beberapa objek kelihatan seperti slaid kecemasan dan pintu pesawat di
lautan ketika menjejaki pesawat AirAsia yang hilang pada Ahad dalam ribut
ketika merentasi Pulau Jawa.
Bambang berkata beliau 95% pasti serpihan yang dilihat
di perairan Kalimantan, Indonesia itu adalah sebahagian daripada pesawat
AirAsia yang dianggap terhempas 2 hari lalu.
“Saya pasti 95% rakaman gambar itu adalah serpihan
disyaki daripada pesawat itu,” katanya kepada wartawan.
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang penumpang dan
anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadualkan tiba di
Singapura pada 8.20 pagi tetapi hilang komunikasi dengan menara kawalan trafik
udara Indonesia pada 7.24 pagi.
Seramai 155 daripada mereka adalah warga Indonesia dan
seorang dari Malaysia.
Sementara itu, pada 4.11 petang tadi, Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes di Twitter berkata:”Hati saya
sangat sedih untuk semua keluarga terlibat dalam QZ8501. Bagi pihak AirAsia
yang mengucapkan takziah untuk semua. Saya tidk boleh ucapkan dengan kata-kata
betapa kesalnya saya.”
Beliau kemudian memaklumkan akan bergegas ke Surabaya.
“Kami di AirAsia akan melakukan segala yang termampu,”
katanya di Twitter, dan ramai pengguna Twitter lain menyampaikan rasa simpati
dan memintanya tabah. – TMI/30 Disember, 2014.
0 comments:
Post a Comment