Sponsor

Saturday, December 20, 2014

Pesawat Boeing 737 Milik Malaysia Airlines Ke 100 Tiba Esok Di Kuala Lumpur...


Tempahan pesawat Boeing 737-800 dijangka tiba untuk MAS esok. – Gambar ihsan airnation.net.

Malaysia Airlines (MAS) bersedia untuk menyambut ketibaan pesawat Boeing 737, yang ke-100 milik syarikat penerbangan itu, di Kuala Lumpur esok. Pesawat Boeing 737-800, diserahkan kepada MAS di Seattle pada Jumaat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata pesawat itu akan terus menjadi pesawat yang hebat kepada syarikat penerbangan itu dengan kebolehpercayaan yang konsisten, ekonomi tidak dapat ditandingi dan inovasi dalam keselesaan penumpang. "Kami menggunakan pesawat 737 bagi penerbangan sulung kami pada tahun 1972 dan kami teruja untuk menerima pesawat ke-100 kami daripada jenis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MAS menerima pesawat 737 yang pertama, 737-200, pada 1972 dan mengendalikan pesawat 737-200, 737-300, 737-400, 737-500 dan 737-800 dan juga 747-400 serta 777-200ER.
Naib Presiden Kanan Boeing Commercial Airplanes (Jualan) Asia Pasifik dan India Dinesh Keskar berkata Boeing turut berbangga dengan hubungan lama yang terjalin dengan MAS dan menjadi sebahagian daripada penghantaran istimewa yang ke-100 ini. "Pesawat 737 yang berkeupayaan dan beroperasi secara ekonomi akan terus memainkan peranan penting dalam syarikat penerbangan terkemuka di Malaysia," katanya.
Beliau berkata kejayaan pasaran pesawat 737-800 ini diperakui oleh pelabur yang konsisten meletakkannya pada kedudukan sebagai pesawat satu lorong yang paling digemari kerana asas pasarannya yang luas, kecekapan prestasi unggul dan kos operasi paling rendah dalam kelasnya. Lebih daripada 5,100 pesawat itu diserahkan kepada pelanggan di seluruh dunia setakat ini. – Bernama, 20 Disember, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/