Sponsor

Friday, February 13, 2015

TGNA – Meskipun Sederhana Tapi Tegas Dan Ternama..

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, yang meninggal dunia kira-kira jam 9.40 malam tadi adalah Menteri Besar Kelantan kelima yang dilantik ke jawatan itu selepas PAS berjaya merampas teraju kerajaan negeri Kelantan daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 hingga PRU 2013.
Mursyidul Am PAS yang cukup disegani kawan dan lawan dengan panggilan Tuan Guru itu adalah menteri besar parti pembangkang yang paling lama berkhidmat iaitu selama 23 tahun selain sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chempaka. Sebagai seorang ulama dan tokoh politik yang tegas dengan pandangan Islam, Allahyarham sering menjadi figura penting bagi parti dan menjadi rujukan utama pemimpin PAS setiap kali berbangkit sebarang isu.
Selain bahasa Melayu beliau boleh berkomunikasi dalam bahasa lain seperti bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.
Turut dikenali sebagai menteri besar paling sederhana, Allahyarham kekal tinggal di kediaman rumah kampung di belakang Masjid Pulau Melaka di Kota Bharu dan sentiasa berjubah serta berserban. Memandangkan pengaruh Allahyarham yang begitu kuat, banyak pihak menganggap jatuh bangun PAS banyak bergantung kepada beliau sepanjang perjuangannya dalam parti itu.
Dalam dunia politik, walaupun sering bertentangan pendapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, namun mereka sebenarnya saling menghormati antara satu sama lain. Malah, Dr Mahathir pernah menganggap Allahyarham sebagai saudara beliau.
Kewibawaan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang memajukan negara sering diiktiraf oleh Nik Abdul Aziz. Pada tahun 2009, beliau disenaraikan antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku ‘The 500 Most Influential Muslims’. Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.
Nik Abdul Aziz dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 19 Januari lalu selepas tahap kesihatannya merosot ketika banjir besar melanda negeri pantai timur itu, baru-baru ini selain menghidap barah prostat. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menziarahi Allahyarham di HUSM baru-baru ini diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Nik Abdul Aziz dilahirkan pada Sabtu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu dan beliau adalah anak kedua daripada sembilan adik-beradik. Beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri, Tuan Guru Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka sebelum memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam dari Universiti al-Azhar di Mesir.Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 cahaya mata dan antara anaknya yang mengikut jejaknya dalam politik ialah Nik Mohamad Abduh yang kini Ahli Parlimen Pasir Mas dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.-Metro

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/