Sponsor

Wednesday, May 6, 2015

PRK Rompin – BN Menang Dengan Majoriti Merosot, ‘Maruah’ UMNO Tercalar..?

BN perlu menangani isu-isu berbangkit khususnya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas pilihan raya kecil Rompin kerana dilihat bakal memberi kesan jangka panjang kepada parti, menurut penganalisis politik.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata keputusan PRK kali ini merupakan isyarat jelas daripada rakyat kepada kerajaan supaya melihat kembali beberapa isu termasuk pelaksanaan GST.

"Penurunan majoriti undi hampir 40 peratus perlu dilihat sebagai isyarat daripada rakyat untuk kerajaan melihat kembali beberapa isu secara lebih teliti sebelum PRU ke-14 supaya dapat dicari penawar untuk tidak berulang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata: "Isu yang mendatangkan impak paling besar ialah GST yang sebenarnya mendatangkan kebaikan kepada negara namun berjaya diputar belitkan oleh pembangkang kerana isu ini dekat di hati rakyat."
Sehubungan itu, katanya, perkara berkenaan perlu diteliti oleh kerajaan untuk memastikan pelaksanaannya lebih teratur dan sistematik selain memastikan agensi-agensi yang berkaitan menjalankan penguatkuasaan untuk mengurangkan rasa curiga dalam hati rakyat.
Isu GST sehingga kini masih menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat terutama yang berpendapatan rendah walaupun penerangan telah dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi.Namun tenyata rakyat masih belum dapat menerima pelaksanaannya yang telah menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan disebabkan sikap tidak bertanggungjawab peniaga.Beliau juga berkata kekalahan di beberapa saluran peti undi di kawasan  Felda juga memerlukan BN melihat kembali strategi memikat hati pengundi dengan tidak lagi menawarkan kemudahan dari segi fizikal, tetapi merubah kepada strategi menawan rohani.Walaupun beberapa hari sebelum PRK, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penurunan harga rumah projek perumahan generasi kedua Felda daripada RM125,000 kepada RM90,000, namun ia tidak cukup membantu melonjakkan undi.
Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata faktor calon yang telah dikenali penduduk turut banyak membantu kemenangan BN, namun kekurangan jumlah majoriti jelas menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan."Sedangkan tidak ada perubahan kepada sokongan terhadap PAS dengan jumlah undi tidak jauh berbeza dengan hanya berkurang 25 undi berbanding keputusan pada PRU-13," katanya.

Beliau berkata sokongan pengundi muda khususnya di Felda juga perlukan jalan penyelesaian bagi memastikan golongan itu tidak terpengaruh dengan pelbagai bentuk maklumat negatif sehingga menjauhkan diri daripada BN.

Pada PRK kali ini, BN tewas di lima daripada 38 pusat daerah mengundi selain beberapa saluran peti undi di tanah rancangan Felda Keratong 2, 4 dan 5, antaranya dikatakan ekoran isu Felda Global Ventures (FGV) Berhad selain program perumahan untuk generasi kedua Felda.

Walaupun kemenangan calon BN Datuk Hasan Arifin pada PRK Rompin sudah diduga banyak pihak, ia tetap tercalar dengan jumlah majoriti undi yang berkurangan hampir sekali ganda, sekaligus jauh tersasar daripada harapan pucuk pimpinan BN.Hasan, anak kelahiran Kampung Ayau, Leban Chondong menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan undi majoriti sebanyak 8,895 undi setelah mendapat 23,796 undi atau 61 peratus berbanding Nazri yang mendapat 14,901 undi atau 39 peratus.

Jauh bezanya berbanding majoriti yang diperoleh bekas penyandang kerusi itu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis sebanyak 15,114 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13.-Bernama/MK- 6 Jun 2015

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/