Sponsor

Wednesday, August 6, 2014

TS Khalid Akan Nyatakan Pendirian Berhubung Jawatan MB Selangor Selepas 10 Ogos...

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberikan keputusan berhubung kedudukannya sebagai menteri besar Selangor selepas mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada Ahad ini. Beliau berkata surat tunjuk sebab yang dihantar PKR juga sudah dibalas dan berharap parti akan menghebahkannya kepada umum atas dasar ketelusan. "Saya difahamkan pada 10 Ogos ini ada mesyuarat kepimpinan PR. Saya akan buat kenyataan akhbar selepas mesyuarat itu. "Saya sudah membalas surat tersebut. Apabila mereka menerimanya, atas dasar ketelusan, mereka akan muat turun surat itu untuk perhatian ahli PKR," katanya daam majlis perasmian pembinaan jambatan ketiga Klang hari ini.
Semalam, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata partinya bersedia kehilangan Selangor jika satu pilihan raya negeri diadakan semula.
Katanya, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan kesediaan menerima hakikat kehilangan kerajaan yang berjaya dirampas parti itu daripada Umno-Barisan Nasional (BN) bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
"Bagi mempertahankan prinsip, kita tidak kisah kehilangan kerajaan. Jika itu perlu dilakukan maka ia amat berbaloi, pemimpin datang dan pergi, saya, Anwar. "Kerajaan kita boleh dapatkan kembali namun tidak sekiranya kehilangan kepercayaan, integriti dalam pentadbiran. Sekali kita hilangkan, ia akan mengambil masa lama, bergenerasi untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat," kata Rafizi.
Khalid berkata, walaupun banyak desakan memintanya berundur, beliau menganggap ia satu cabaran untuk menambah baik prestasi pentadbirannya. Katanya, apa juga keputusan yang akan diputuskan pada Ahad ini, semuan bergantung kepada DUN selain perkenan Sultan Selangor. "Saya seronok sebab apa-apa yang saya lakukan memberi azam kepada saya bekerja untuk rakyat negeri Selangor. Oleh kerana desakan sebegini, saya perlu buat kerja lebih cepat, tertib dan betul.
"Saya jadi MB atau tidak, ia akan ditentukan proses seperti dalam enakmen negeri. Sekarang hanya cakap sahaja. Tiada pelaksanaan apa-apa. "Oleh itu, saya masih bekerja sebagai MB dengan penuh minat dan bertanggungjawab," katanya.
Mengulas mengenai penyelesaian luar mahkamah seperti yang didakwa Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Khalid berkata semua dokumen yang didedahkan parti sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "Baik bagi saya untuk tidak mengulas isu itu. Disebabkan Bank Islam terlibat dalam isu ini, saya secara peribadi akan menulis kepada Bank Islam," katanya.
Khalid turut diminta mengulas surat palsu yang diedarkan kepada media mengenai tawaran PKR jika beliau mahu berundur. Katanya, surat itu jelas menunjukkan tahap kematangan politik Malaysia dan PR perlu mengelak daripada terjebak perbuatan sedemikian.
"Tawaran? Tak payahlah tawaran. Buat apa lagi. Saya mesti tunjuk kematangan dan memastikan rasa hormat diberi kepada pengundi Selangor. "Rakyat tak nak cara macam itu. Nanti mereka kata ada rasuah. Terima kasih banyak," katanya.
PKR hari ini menafikan surat palsu yang dikatakan dikeluarkan oleh Saifuddin bagi melancarkan pertukaran Khalid dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor. Surat itu menyatakan jika Khalid bersetuju berundur maka beliau akan dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Penstrukturan Air dan penasihat ekonomi Selangor dengan elaun RM50,000 serta kemudahan setaraf menteri besar. Semua salah laku politik dan kewangan Khalid akan ditutup serta tiada sebarang laporan penyiasatan akan dikemukakan, menurut surat itu. –TMI/6 Ogos, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/