Menteri Besar (MB) Selangor
Mohamed Azmin Ali mengesahkan sumbangan RM100,000 untuk mangsa banjir di Perak
diterima Pejabat MB Perak.
Katanya, pejabat MB Perak itu sendiri mengesahkan
penerimaan cek itu yang diserahkan wakil kerajaan Selangor awal minggu ini. "Saya tidak ada maklumat itu (cek ditolak) kerana
faktanya ialah, cek sudah pun diserahkan kepada pejabat MB, ada cop pengesahan
penerimaan.
"Saya percaya bantuan ini
akan dimanfaatkan untuk mangsa banjir di Perak," katanya kepada pemberita
di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Shah Alam, hari ini.
Perak semalam didakwa enggan menerima sumbangan itu,
lapor media rasmi negeri Selangorkini memetik kenyataan Exco Wanita dan
Kebajikan Selangor, Dr Daroyah Alwi.
Daroyah berkata dana itu tidak dapat disalurkan bagi
meringankan beban mangsa banjir. "Saya tidak mahu komen tentang laporan itu kerana
berdasarkan maklumat yang saya dapat, dan saya sendiri yang mengarahkan cek itu
diserahkan dengan tangan kepada Pejabat MB Perak," kata Azmin.
Katanya, semasa serahan cek itu beliau tidak dapat
datang ke Perak dan hanya menyerahkannya melalui wakil kerajaan negeri. "Bagi negeri lain saya ada kesempatan untuk turun
sendiri dan serahkan secara terus kepada Kelantan, Terengganu sendiri dan wakil
Pahang. "Saya tidak melihat ini satu masalah bagi Perak
dan pengesahan penerimaan juga saya terima," katanya.
Semalam, Daroyah dilaporkan berkata, pihaknya kesal
Perak mengamalkan politik sempit walaupun berada dalam keadaan bencana ketika
ini. “Seperti di Terengganu, kita dimaklumkan wang
berkenaan akan diuruskan badan bukan kerajaan (NGO), yang mana itu adalah cara
matang dan betul.“Buat masa ini, kita masih belum ada keputusan
bagaimana sumbangan itu boleh disalurkan kepada mangsa banjir Perak. Mungkin kita
akan salurkan kepada NGO, tetapi segalanya akan diputuskan pejabat Datuk
Menteri Besar,” katanya seperti dipetik laporan Selangorkini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu ketika
ditemui pemberita di SUK tadi meminta media merujuk semula perkara itu dengan
Pejabat Menteri Besar.
"Periksa dengan Pejabat MB. Mungkin itu yang
terkini," katanya.
Beliau bagaimanapun mempertahankan dakwaan asalnya
semalam yang mengatakan Perak menolak sumbangan daripada Selangor."Itu semalam. Mungkin ada komunikasi antara
Pejabat MB Perak dan Selangor. Setakat hari ini saya tidak dapat lagi maklumat
tersebut," katanya.
–TMI/2 Januari,
2015.
0 comments:
Post a Comment