Australia menolak permintaan
kerajaan Malaysia untuk mengekstradisi Koperal Sirul Azhar Umar bagi menghadapi
hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh warga Mongolia Altantunya
Shaariibuu, kata laporan yang memetik pegawai kerajaan negara tersebut.
The Sydney Morning Herald melaporkan, pegawai Pejabat
Peguam Negara Australia menyifatkan hukuman tersebut bertentangan dengan
undang-undang negara mereka.
Sirul antara salah seorang polis komando yang dihukum
mati selepas terlibat dalam pembunuhan kejam penterjemah Mongolia itu pada
2006.
Mahkamah Persekutuan pada Selasa
lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan tertuduh pertama, Ketua
Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan
tahun lalu. Bagaimanapun, Sirul tidak hadir pada hari keputusan
tersebut diumumkan dan berada di Australia.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan
Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan dua anggota Unit Tindakan
Khas (UTK) itu selepas membenarkan rayuan mereka. Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan
terkhilaf dalam keputusannya.
Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak
Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim
Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop. Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah
berpuas hati kedua-dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes
pendakwaan.
Berikutan ketidakhadiran Sirul Azhar, mahkamah
mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan Azilah dibawa ke penjara. Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam
menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka
bersalah melakukan pembunuhan itu.Sirul Azhar dan Azilah didakwa membunuh Altantuya, 28,
di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Oktober dan pukul
1 pagi pada 20 Oktober 2006. – 15 Januari, 2015.-TMI/15 Januari 2015
0 comments:
Post a Comment