Ekor pesawat AirAsia QZ8501 yang
terhempas di Laut Jawa diangkat ke permukaan menggunakan belon terapung hari
ini, tetapi tanpa kotak hitam yang penting bersamanya, kata pihak berkuasa
Indonesia.
Pesawat Airbus 320-200 itu, yang membawa 162 penumpang
dan anak kapal, terhempas selepas mengalami cuaca ribut pada 28 Disember dalam
perjalanan dari Surabaya ke Singapura, mengorbankan semua di atas kapal.
Ekor pesawat itu, di mana tersimpannya kotak hitam
perakam data, ditemui di dasar laut 30m di bawah permukaan dan akhirnya
diangkat ke kapal hari ini menggunakan belon terapung gergasi dan kren."Kami mengangkat ekor pesawat
itu ke dalam kapal. Ia berwarna merah dan putih dengan sebahagian besar logo
AirAsia boleh dilihat padanya," kata jurucakap Tentera Laut Manahan
Simorangkir kepada AFP.
Di atas kapal KRI Banda Aceh itu, salah satu kapal
Tentera Laut Indonesia yang terlibat dalam usaha pencarian, pelayar bersorak
sebaik ekor pesawat itu muncul di permukaan, kata seorang jurugambar AFP yang
turut berada di atas kapal.Ekor itu ialah bahagian terbesar dari bangkai pesawat
itu yang ditemui sehingga kini dan boleh memberi petunjuk mengapa ia terhempas.
Bagaimanapun, kotak hitam yang penting untuk
menjelaskan keadaan nahas yang terjadi kerana ia seharusnya mengandungi
kata-kata akhir juruterbang serta pelbagai data penerbangan, mungkin tertanggal
daripada ekor itu, kata SB Supriyadi, pengarah Badan Mencari dan Menyelamat
Nasional (Basarnas).
Ping dari kotak itu dikesan semalam, meningkatkan
harapan mendapatkannya semula dengan segera.
Namun, keadaan bertukar mengecewakan apabila pihak
berkuasa menyedari ping itu bukan datang dari ekor pesawat tetapi dari sumber
lain dan kotak hitam itu kelihatannya berada jauh terbenam di dasar laut."Malam tadi, penyelam kami membuka pintu ekor
kabin itu, menggeledahnya tetapi tidak menjumpai apa-apa," Supriyadi
memberitahu AFP pada pagi Jumaat."Tetapi bot di atas mengesan bunyi ping yang
lemah, dipercayai dari kotak hitam yang kedudukannya kira-kira 1 batu (1.6km)
di tenggara ekor itu... dan diliputi lumpur."
Supriyadi berkata, penyelam dari sebuah unit elit
Marin itu, kembali hari ini ke kawasan di mana dipercayai punca terbitnya bunyi
ping itu."Mereka sedang mencari dalam radius 500m dari
mana ping itu dipancarkan. Cabarannya ialah bunyi ini sangat lemah. Jika kapal
lalu, bunyi akan tenggelam. Oleh itu, kita benar-benar memerlukan air yang
tenang," katanya.
"Setakat ini, penyelam kami masih tidak dapat
menentukan koordinat kotak hitam itu."
Selepas ekor itu ditemui, Supriyadi berkata pihak
berkuasa kekal yakin peti hitam itu masih berada di bawah air.Sementara itu, usaha mencari yang juga melibatkan
kapal tentera laut asing diteruskan bagi menjejaki bahagian lain dari bangkai
pesawat itu, dan juga jasad penumpang.Setakat ini, hanya 48 mayat ditemui, menurut pihak
berkuasa Indonesia. Semuanya warga Indonesia kecuali tujuh, iaitu tiga warga
Korea Selatan, seorang Singapura, seorang Malaysia, seorang British dan seorang
Perancis. – TMI/10 Januari, 2015.
0 comments:
Post a Comment