Sponsor

Wednesday, February 12, 2014

Wan Fauzuldin Wan Samad - 'Ada Ketikanya Strategi Perang Perlu Dirahsiakan'.....



Perhatian kini tertumpu di PRK DUN Kajang. Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup mengambil risiko untuk mengisi kekosongan DUN Kajang apabila wakil rakyat daripada KEADILAN telah sukarela melepaskan kerusi tersebut bertujuan merealisasikan ‘langkah mempertahankan Selangor’ seterusnya merampas Putrajaya.


Bukan rahsia lagi, Selangor adalah satu-satunya negeri idaman kalbu oleh gerombolan rejim Umno-BN. Tiada ertinya menguasai Pusat apatah lagi menguasai 47% undi popular tanpa memiliki negeri terkaya atau lubuk emas iaitu Selangor. Bertuahnya Pakatan Rakyat adalah menguasai 53% undi popular dan memiliki Selangor sebuah negeri terkaya dan termaju di Malaysia. Najib sanggup berbuat apa sahaja untuk merampas Selangor. Jika beliau tidak boleh memperolehinya dengan cara demokrasi atau melalui sokongan rakyat, beliau sanggup melakukannya melalui kaedah lain biarpun berapa bilion wang yang akan digunakan, asalkan Selangor dapat dirampas. Perak adalah satu contoh dan Pakatan Rakyat belajar melalui sejarah rampasan kuasa di Perak.


Kemelut di antara Tan Sri Khalid dan Azmin Ali di Selangor bukan satu faktor besar untuk Anwar campur tangan secara langsung di Selangor. Anwar melihat jauh lagi ke hadapan.
Perak dan Kedah adalah salah satu subjek yang Anwar pelajari bersama pimpinan Pakatan Rakyat di mana di dalam politik ada ketikanya terpaksa mengatur ‘strategi’ luar biasa dan diluar jangkaan sesiapa. Mungkin strategi ini tiada di dalam doktrin Pakatan Rakyat, tetapi tidak salah memilih strategi seperti ini apabila semua strategi tidak memberi kesan yang hebat. Di dalam ketenteraan, tidak semua strategi yang dirancang untuk menghadapi musuh perlu dimaklumkan kepada ‘askar laskar. Demi kerahsiaan dan mengelakkan strategi ini diketahui mungkin oleh ‘musuh di dalam selimut’, maka strategi ini hanya perlu dibincangkan dan diatur sesama beberapa ‘Jeneral atau Pegawai Kanan’. Apabila tiba perlaksanaannya iaitu waktu untuk menggempur, barulah ‘askar laskar’ ini dimaklumkan tentang strategi berkenaan. Jika ada pun musuh di dalam selimut, risikonya amat kecil kerana mereka tidak mempunyai masa lagi untuk menghadapi atau mengagalkan strategi yang diatur.


Sehubungan itu, langkah KEADILAN mengosongkan kerusi DUN Kajang dengan hanya berbincang dengan beberapa “pegawai kanan” di dalam Pakatan Rakyat adalah tepat. Kini waktu untuk bertempur di mana ‘askar laskar’ telah dimaklumkan apa yang perlu dibuat. Terbukti, musuh kini panik dengan strategi yang dilakukan.
Persoalannya, adakah strategi ini berkesan untuk merobek pertahanan dan kekuatan musuh sekaligus menggagalkan segala perancangan jahat mereka? Semuanya terpulang kepada ‘askar laskar’ yang berjuang. Jika kita berjaya, ini adalah kejayaan kita bersama. Jika kita gagal, ertinya strategi kita belum cukup berkesan atau kita masih memiliki ‘askar laskar’ yang menjadi ‘musuh dalam selimut’ yang mungkin ‘menembak’ kita di dalam kubu sendiri.

Penulis :
WAN FAUZULDIN WAN SAMAD (WFAUZDIN NS)
Penyelaras KOBAT
(Kor Bekas Angkatan Tentera)

Sumber :
Keadilan Daily / Wednesday, February 12, 2014

1 comments:

  1. Maaf. Minta laluan....

    Buat duit.... mudah2. Free pulak. Sini....

    http://stayreward.com/index.php?share=115728

    ReplyDelete

http://penburukonline.blogspot.my/