Sponsor

Friday, November 7, 2014

Lim Guan Eng Lebih Sibukkan PAS, Tetapi 'Membisu' Dan 'Pekak' Dengan Tindakan DAP Sarawak..?..

HD/ 07 November 2014/Guan Eng tutup mata, telinga tindakan DAP Sarawak 

BERUCAP dalam konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan pada 2 November yang lepas, seperti mana yang dirakam oleh KiniTV,Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan dalam PR, ada parti yang ‘cakap tak serupa bikin’. Menurut beliau lagi parti itu bukan sahaja tidak menunaikan janji malah tidak menunjukkan komitmen kepada Pakatan.

Walaupun Guan Eng tidak menyebut nama parti itu namun yang jelas dan nyata sindiran itu merujuk kepada PAS berhubung krisis Menteri Besar Selangor baru-baru ini.
Apa yang lebih menarik intipati ucapan beliau ialah beliau dengan tegas berkata mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan DAP perlu memiliki prinsip dan amalan yang sama dengan parti itu. Malah katanya lagi DAP berjuang kerana prinsip dan tidak takut berjuang bersendirian kalau perlu. Teguran Guan Eng tidak terhenti di situ, beliau mengulangi ucapannya di Majlis Fund-Raising Dinner DAP Petaling Jaya keesokan harinya di Kelana Jaya, kali ini terang-terangan menyebut nama PAS dan lebih ditujukan kepada Presiden PAS.

Saya menjadi terkaku kehairanan bila mendengar ucapan berapi Guan Eng ini yang juga merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya juga terfikir adakah beliau sebagai Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP kini tinggal dan berkelana di luar negara. Ucapan serta pendirian yang dinyatakan oleh Guan Eng amat mengelirukan sebenarnya. Hairan pun ada di hati saya dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Mungkin juga beliau jenis spesies yang tidak boleh mendapat mikrofon terus berucap mengikut selera atau syok sendiri.

Adakah Guan Eng sedar atau tidak akan tindakan buruk yang telah dilakukan oleh DAP Sarawak sehingga menimbulkan kemelut dalam PR Sarawak?

Tindakan memutuskan segala hubungan komunikasi bukan sahaja dengan PAS Sarawak malah dengan PKR yang kononnya tidak bersama mereka mendesak PAS Sarawak menyatakan pendirian mengenai isu hudud di Sarawak, bukan setakat itu sahaja, alasan yang diberi oleh DAP Sarawak bahawa mereka tidak setuju dan menentang pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan yang boleh menjejaskan kerusi sedia ada mereka dan peluang mereka untuk mencapai kemenangan pada Pilihan raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

DAP Sarawak seperti mana dalam kenyataan baru-baru ini berkata mereka masih kekal dalam gabungan Pakatan Rakyat, namun tindakan yang diambil oleh mereka memboikot semua program melibatkan PR Sarawak sehingga ke hari ini amat menghairankan. Apakah ertinya memboikot program tetapi masih kekal dalam Pakatan? Pelik sungguh tingkah laku serta tindakannya. Kalau sudah boikot semua program PR serta sudah mencemuh rakan dalam Pakatan adalah lebih baik keluar sahaja secara terhormat dari Pakatan.

Pengerusi DAP Sarawak YB Chong Chieng Jen dalam kenyataan medianya berkata DAP Sarawak bersikap tunggu dan lihat sementara menunggu pemilihan kepimpinan PAS yang bakal diadakan tahun depan. Sekiranya kepimpinan PAS yang baru masih didukung oleh pemimpin yang menyokong hudud maka mereka akan bertindak menarik diri dari PR. Tindakan DAP Sarawak ini adalah keterlaluan dan cuba mencampuri urusan dalam dan mempengaruhi pemilihan kepimpinan PAS.

Mengapa Guan Eng tidak menyatakan pendirian DAP Pusat ke atas tindakan melampau DAP Sarawak dalam Pakatan Rakyat yang ternyata jelas tidak menunjukkan komitmen kepada Pakatan. Adakah tindakan DAP Sarawak itu adalah contoh prinsip dan amalan DAP yang dimaksudkan oleh Guan Eng? Guan Eng harus sedar bahawa langkah yang diambil oleh DAP Sarawak ini boleh menjejaskan persiapan PRN rakan-rakan dalam PR. Guan Eng juga seharusnya mencerminkan DAP itu sendiri terlebih dahulu sebelum membuat segala macam kenyataan yang boleh memburukkan keadaan.

Alangkah baiknya Guan Eng segera menyelesaikannya isu DAP Sarawak ini dari menanggung "biawak hidup" kepada rakan-rakan dalam PR Sarawak. Kenyataan Guan Eng ini seperti tulisan saya yang lalu umpama "meludah ke langit terkena muka sendiri". Yang pasti DAP Sarawak hanya berminat untuk menang dan tiada sedikit pun di hati sanubari mempunyai perasaan setiakawan dalam PR. Jangan-jangan apa yang dikatakan dan dicemuh oleh pemimpin dan macai BN terhadap DAP benar belaka.

Adakah DAP sedar yang mereka sekarang jadi alat atau wakil kepada suara Gerakan, MCA dan SUPP dalam usaha menentang PAS? Adakah DAP Sarawak hendak menggantikan SUPP setelah mereka berjaya menumbang SUPP dan seterusnya menjadi mesra BN Sarawak satu hari nanti setelah SUPP terendam dalam politik Sarawak? Sedarkah DAP Sarawak bahawa mereka sebenarnya telah terperangkap dalam jerat parti kompenan BN apabila mereka secara tidak sedar telah menjadi alat SUPP? SUPP telah berjaya memecahkan perpaduan dalam PR Sarawak. Matlamat SUPP hanya ingin melihat DAP Sarawak keluar dari PR dan usaha mereka hampir berjaya. Sekarang terserah kepada DAP Sarawak untuk memikirkan masa depan parti mereka.




0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/