Sponsor

Tuesday, November 25, 2014

Bajet Selangor, Bekas MB (TSKI) Sifatkan Azmin Tidak faham Dan Kurang Arif...?

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan bajet Selangor yang dibentangkannya sejak 6 tahun lalu, mengatakan ia disokong Laporan Ketua Audit Negara.
Khalid berkata, menurut Laporan Ketua Audit Negara, walaupun kerajaan negeri Selangor memohon perbekalan tambahan rizab setiap tahun, rizab negeri tidak pernah berkurang malah semakin bertambah.
"Adalah terpesong sama sekali dakwaan Selangor mengalami belanjawan defisit sejak 2008.
"Harus diingatkan juga kemewahan yang dinikmati Selangor pada Belanjawan 2015 adalah hasil pendekatan berhemah yang diambil pentadbiran terdahulu tetapi amat tidak bertanggungjawab bagi pentadbiran hari ini mencari justifikasi belanjawan defisit dengan memutar belit fakta yang boleh disanggah dengan senang oleh bukti dalam laporan kewangan dan audit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penggantinya, Mohamed Azmin Ali semalam pertama kali membentangkan bajet defisit RM450 juta sejak pemerintahan Pakatan Rakyat (PR), tetapi menyalahkan Khalid juga membuat perkara sama apabila sering meminta bajet tambahan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Khalid berkata dakwaan Azmin itu berniat jahat, seolah-olah ingin memberi tanggapan negatif mengenai pengurusan fiskal dan kewangan semasa beliau mentadbir negeri.
Malah, menyifatkan Azmin tidak faham dan kurang arif tentang amalan pengurusan kewangan yang baik, cekap dan berkesan.
Katanya, walaupun pentadbiran terdahulu memohon perbekalan tambahan setiap tahun sejak 2008, namun kerajaan Selangor sebenarnya mempunyai lebihan (surplus) berikutan hasil kerajaan negeri melebihi perbelanjaan.
"Hakikat yang boleh disemak dan dipastikan oleh orang ramai ini sememangnya disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. "Menurut Laporan Ketua Audit Negara, walaupun kerajaan negeri memohon perbekalan tambahan setiap tahun, rizab negeri tidak pernah berkurang malah semakin bertambah saban tahun," katanya.
Memetik laporan audit, analisis mendapati secara keseluruhannya untuk tempoh 5 tahun rizab menunjukkan trend meningkat daripada RM1.39 bilion pada 2007 kepada RM1.9 bilion pada 2011, paras tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Katanya, laporan itu menunjukkan trend meningkat walaupun perbelanjaan kerajaan negeri turut meningkat setiap tahun. "Ini menunjukkan jumlah rizab yang tinggi tidak pernah dijadikan justifikasi untuk kerajaan negeri berbelanja lebih di luar keperluan atau kemampuan atau memohon belanja tambahan. "Ini juga membuktikan pengurusan hasil dan pendapatan yang cekap oleh kerajaan negeri," katanya.
Katanya, jika disemak semula semua data belanjawan 2009-2014, jelas perbekalan tambahan hanya dipohon setelah kerajaan ketika itu berjaya meningkatkan pendapatan yang dijana melalui pertumbuhan ekonomi mampan dan perbelanjaan berhemah. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut keputusan Azmin membentangkan bajet defisit.
Azmin semalam membentangkan bajet RM2.422 bilion, 53.19% untuk perbelanjaan mengurus dan 56.81% daripadanya diperuntukkan untuk pembangunan. Namun pembentangan itu menunjukkan bajet defisit apabila kutipan hasil negeri pada 2015 dianggarkan hanya RM1.97 bilion sahaja, berbanding perbelanjaan RM2.42 bilion. Khalid semasa Bajet 2014 hanya memperuntukkan RM1.8 bilion dan Bajet 2013 sebanyak RM1.63 bilion.
TMI 25 November, 2014.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/