Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau tidak
percaya Presiden Indonesia, Joko Widodo sanggup mengarahkan pasukan
keselamatannya mengaramkan kapal nelayan asing yang memasuki perairan republik
itu.
Katanya, beliau akan menyiasat dakwaan yang dilaporkan agensi
berita antarabangsa, dan disiarkan akhbar tempatan hari ini. "Saya tidak
percaya bahawa ini adalah suatu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang
presiden dan (Malaysia) akan menyiasat dakwaan ini," katanya dalam satu
kenyataan.
Menurut Anifah lagi, perjanjian ditandatangani Malaysia dan
Indonesia pada 2012 menyatakan persefahaman bahawa penguatkuasa negara
masing-masing hanya akan mengusir nelayan yang menceroboh perairan jirannya. Tegasnya,
ia disahkan dalam “MOU Berhubung Garis Panduan Am Mengenai Layanan Ke Atas
Nelayan Oleh Agensi Penguatkuasaaan Malaysia dan Republik Indonesia”.
Menteri itu juga berkata, Malaysia masih belum menerima sebarang
makluman rasmi dari pihak konsular Indonesia tentang laporan mengenai penahanan
200 nelayan Malaysia pada hari Rabu lalu. "Sehingga kini, Kementerian Luar
Negeri melalui perwakilan Malaysia di Indonesia masih belum menerima sebarang
notis konsular secara rasmi dari pihak Indonesia berhubung penangkapan
tersebut.
"Kedutaan besar Malaysia telah menghubungi Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk mendapatkan pengesahan terutamanya mengenai maklumat pengenalan diri dan lokasi penahanan nelayan Malaysia tersebut," katanya lagi. Menurutnya, pihak Wisma Putra akan terus memantau perkembangan semasa berkenaan berita itu.
0 comments:
Post a Comment