Sponsor

Monday, February 9, 2015

Susah Sangat Kah Untuk Mencari Pengganti Anwar..?

Pemerhati politik tempatan mengakui masih samar-samar dengan sosok pengganti kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memandu pakatan itu sekiranya beliau dijatuhkan hukuman penjara, esok.Meskipun ada yang menyebut nama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon pengganti, namun pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, kekangan utama Azmin adalah jawatannya sebagai orang nombor dua parti.

“Yang itu saya tak pasti sebab nak ganti Anwar perlu mempunyai ciri-ciri seseorang yang boleh memainkan peranan menjadi pengantara untuk Pas, PKR, dan DAP. Tapi saya tak nampak siapa yang boleh ganti.
“(Walaupun Azmin?) Ia lah, Azmin Timbalan Presiden PKR. Jadi, (jika Azmin mengganti Anwar) akan menjadi seolah-olah melangkaui Presiden (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail),” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Ketika ditanya kemungkinan calon pengganti dari parti selain PKR, beliau menyifatkan kemelut dalaman PR menjadi penghalang kepada kemungkinan itu.“Dalam keadaan kemelut sekarang, saya tak tahu sama ada wakil Pas boleh diterima DAP dan wakil DAP boleh diterima Pas memandangkan ada isu yang mereka perlu atasi sekarang,” katanya.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani melihat Azmin telah cuba ditonjolkan PKR sejak dulu untuk mengambil alih kepimpinan PKR.

“Mereka perlu melihat siapa yang sesuai. Dalam PKR pun sekarang ini, Azmin sedang cuba ditonjolkan sebagai pemimpin pelapis yang akan mengambil alih PKR.“Jadi, saya rasa PKR mungkin akan mencadangkan Azmin. Tapi keputusan PKR tidak mencerminkan PR, jadi, kena lihatlah juga keputusan Pas dan DAP siapa yang sesuai. Pengganti itu nanti tidak semestinya dari PKR,” katanya.

Sementara, Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, pemimpin yang bakal mengganti Anwar itu perlu diterima ketiga-tiga parti komponen.“Sesiapa pun orang itu, mereka perlu mencari pemimpin yang selayak Anwar. Tapi yang jauh lebih penting, pemimpin itu orang yang dapat diterima baik oleh ketiga-tiga parti komponen.“Seterusnya dapat menganjakkan PR ke hadapan sekiranya Anwar ke penjara. Mereka tidak ada pilihan. Pilihan mereka hanya memastikan PR terus bersatu,” katanya.

Meskipun calon itu tidak semestinya dari PKR, namun beliau percaya keutamaan itu nanti diberikan kepada PKR susulan DAP lebih selesa pengganti itu dari PKR berbanding dari Pas. 
Satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan PR akan diadakan pada esok selepas keputusan kes liwat II Anwar diketahui.-SH/9 Februari 2015

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/