Bapa kepada penuntut wanita yang maut akibat dikelar seorang lelaki
semalam pernah membuat laporan polis mengenai anaknya yang sering diganggu
lelaki itu sejak di Tingkatan Lima.Johari Hashim berkata, pemuda tersebut adalah rakan sekampung anaknya
dan pernah meluahkan hasrat untuk menjalin hubungan serius dengan anaknya.Namun beliau berkata, mereka sekeluarga menghalang hasrat pemuda itu
kerana dia disyaki menagih dadah.
“Anak saya hanya berkawan biasa. Tetapi dia mahu mengadakan hubungan
serius. Anak saya pernah beritahu kami, lelaki itu selalu mengganggunya. Saya
pernah telefon dan hantar SMS kepada dia supaya jangan ganggu anak saya.
“Saya juga pernah membuat laporan polis empat tahun lepas. Apabila dia
bekerja di Melaka, saya ingatkan dia sudah berhenti ganggu anak saya kerana
anak saya tidak lagi bercerita mengenainya,” katanya kepada pemberita.
Anaknya Nursyuhada, 20, yang merupakan penuntut Universiti Teknologi
Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar
seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan
berhampiran Bukit Gantang, Perak, semalam.
Johari berkata, namun selepas itu, anaknya memberitahu lelaki berkenaan
masih menganggunya.
Beliau berkata, keluarga pemuda itu mengetahui kelakuannya yang pernah
bertindak ganas memecahkan pintu rumahnya di Taman Hosba di sini.
Menurutnya, pemuda tersebut pernah melarikan anaknya dengan kereta
sebelum ini tetapi mereka sekeluarga menemuinya semula.“Saya sangat terkejut apabila rakan kelas anak saya menghubungi isteri
saya dan memberitahu anak saya akan dicederakan sekiranya anak saya tidak mahu
menaiki kereta lelaki itu.
“Isteri saya cuba menghubunginya anak saya beberapa kali, tetapi panggilan
telefonnya tidak dijawab. Saya juga menghubungi ibu bapa pemuda itu meminta
mereka menghubungi anak mereka untuk membawa pulang anak saya,” kata Johari.
Beliau berkata, bapa lelaki itu kemudian menghubungi anaknya dan
memaklumkan kepada Johari anaknya telah mengelar leher Nursyuhada.
Beliau juga kesal kerana lelaki itu dilapor memberitahu pihak polis
bahawa dia melakukan perkara itu kerana mengalami sakit mental.
Johari berkata, kali terakhir beliau bertemu anaknya ialah pada awal
bulan lalu ketika menghantar anaknya di perhentian bas Shahab Perdana, Alor
Setar untuk pulang ke kampus.
Nursyuhada yang meninggal di Hospital Kuala Kangsar dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan, pagi tadi. - Bernama
0 comments:
Post a Comment