Lapan belas tahun lalu – ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara
kerana kes liwat I, gerakan Reformasi dilancarkan. Gerakan itu dipimpin
isterinya sendiri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR.
Sudah 18 tahun Reformasi berlalu. Keputusan Mahkamah Persekutuan
baru-baru ini yang membatal rayuan kes liwat II, menyebabkan Anwar kembali ke
penjara. Hukuman penjara lima tahun yang ditanggung Anwar sekaligus bakal
menamatkan karier politik beliau selama lebih lima dekad. Namun, reformasi harus terus walaupun tanpa kelibat manusia yang bernama
Anwar Ibrahim. Kekuatan reformasi bukan bergantung pada Anwar semata-mata.
Ia bukan demi Anwar atau kerana Anwar. Reformasi adalah detik kebangkitan rakyat Malaysia melawan ketidakadilan
rejim Barisan Nasional.
Apa itu Reformasi?
Reformasi bukan sekadar slogan. Reformasi adalah iltizam untuk
melahirkan masyarakat yang adil dan bebas.Barangkali ramai antara kita, terutama mereka yang mengaku sebagai
‘reformis’ lupa suatu ketika dulu; pada tanggal 12 September 1998 – Deklarasi
Permatang Pauh diangkat menjadi kekuatan gerakan reformasi.
Deklarasi Permatang Pauh menyorot semula keazaman, sekaligus memberi
peringatan kepada kita betapa perjuangan reformasi berhasrat melahirkan
keadilan untuk semua kaum, menghapus diskriminasi ekonomi dan membanteras
korupsi dan penyalahgunaan kuasa.
Reformasi menjadi detik baru dalam sejarah politik Malaysia. Ia mengubah
lanskap baru politik negara. Buat kali pertama, kita menyaksikan kebangkitan
rakyat melawan rejim pemerintah yang zalim pada skala yang besar.Ia hasil daripada sinergi parti politik, masyarakat sivil dan gerakan
Islam untuk memperjuangkan keadilan dan melawan ketidakadilan.
Kekuatan sebenar reformasi sebenarnya bukan kerana Anwar Ibrahim. Anwar
hanya simbol.Rakyat adalah penggeraknya. Tetapi, ‘kuat’-nya reformasi adalah kerana
keinginan setiap golongan tanpa mengira kaum dan agama, kaya atau miskin untuk
menjadikan Malaysia lebih baik.Kita tidak dapat nafikan bahawa Anwar adalah insan yang bertanggungjawab
mencetuskan gelombang tersebut. Bagaimanapun, itu bukanlah sebab utama kenapa
“reformasi” menjadi Reformasi.
Bagaimana ‘reformasi’ menjadi Reformasi?
Barangkali, dalam banyak pertanyaan; pertanyaan itu paling rumit sekali.
Semua orang bercakap tentang ‘reformasi’. Ada yang mengaku reformis kerana
konsisten berdemonstrasi di jalanan sejak 1998.
Ada pula yang mengaku reformasi kerana kesetiaannya kepada perjuangan
Anwar – tetapi adakah kita sendiri faham mengapa ‘reformasi’ boleh menjadi
(R)eformasi?
“Reformasi adalah idea, keinginan dan cita-cita untuk berjuang demi
rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Idealisme ini melahirkan keyakinan dan
inspirasi untuk melakukan perkara yang betul dan bermaruah.”
Kata-kata itu dikutip daripada Liew Chin Tong dalam bukunya, Speaking
for Reformasi Generation terbitan Refsa pada 2009.Kenyataan Chin Tong menggambarkan semangat dan kesungguhan bagi mereka
yang dibesarkan ketika era Reformasi. Kata-kata itu mungkin mewakili luahan
jujur mereka yang mahu meneruskan agenda perubahan. Dan, ia bukan sekadar untuk menumbangkan Barisan Nasional. Tetapi, ia
sumber kekuatan untuk mereformasi sistem dan institusi negara yang rosak akibat
penyalahgunaan kuasa dan korupsi.
Reformasi menjadi ‘reformasi’ kerana iltizam dan kejujuran untuk
menjadikan Malaysia lebih baik daripada pentadbiran sedia ada. Perjuangan
reformasi itu memerlukan kejujuran dan keikhlasan.Jika tidak, kita akan terperangkap dengan segala macam dugaan dan
akhirnya berpaling tadah terhadap keinginan yang sering kita cita-citakan.
Reformasi selepas Anwar?
Penghukuman Anwar membuka jalan untuk kita merenung semula apa yang
dimaksudkan dengan Reformasi. Kita tidak dapat menafikan bahawa kita terhutang
budi dengan kekuatan Anwar di sebalik agenda reformasi. Namun, kita harus keluar daripada kepompong yang membelenggu fikiran
kita selama ini.
Anwar meninggalkan legasi perjuangan politik yang panjang. Namun,
perjuangan ke arah ‘perubahan’ memerlukan daya kesungguhan dan masa yang sangat
panjang. Reformasi tidak harus bergerak hanya kerana Anwar Ibrahim.Reformasi perlu dikembalikan kepada semua golongan tanpa mengira agama
dan bangsa. Reformasi harus kembali kepada tunjang asal perjuangan; yakni untuk
memerdekakan setiap rakyat Malaysia daripada kekangan dan cengkaman
autoritarianisme.
Sejauh mana perjuangan ‘reformasi’ akan mendapat
tempat?
Ia terletak pada kesungguhan pendokong gerakan ‘pro-perubahan’ untuk
meneruskan saki baki perjuangan kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat
Malaysia – yang masih panjang dan berliku-liku. Amanat terakhir Anwar Ibrahim sebelum beliau kembali ke penjara: I
will fight for freedom and justice. And I will never surrender! -
adalah sinergi gelombang Reformasi yang baharu dan segar.
Reformasi mungkin berkesan di dalam ungkapan Nelson Mandela di dalam
memoir Long Walk To Freedom:“Untuk menjadi bebas bukan kerana membebaskan seorang insan dari
kurungan penjara, tetapi iltizam hidup memperjuangkan kebebasan semua orang di
bawah rejim yang zalim.”.. SK/Oleh Muhammad Nazreen/12 Februari 2015
0 comments:
Post a Comment