Tun
Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa Umno menyingkirkan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak, mengulangi niatnya untuk menyelamatkan Umno daripada kalah
pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Ia merupakan 2 daripada "pilihan" yang
diberikan bekas perdana menteri itu kepada Umno, susulan kritikan beliau kepada
Najib selama ini.
"Kita berdepan dengan pilihan-pilihan ini. "Sama
ada kamu singkirkan perdana menteri yang gagal dan akan memimpin Umno untuk
tewas dalam PRU akan datang. "Atau kamu ambil peluang yang jika beliau
disingkirkan, kita mungkin mampu selamatkan Umno," katanya pada sidang
media selepas forum jenayah perang di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu ditanya sama ada
perselisihan faham di antara beliau dan Najib yang menjadi tumpuan ramai
mutakhir ini akan memecah belahkan Umno.
Kenyataan terbaru Dr Mahathir ini menandakan bekas
perdana menteri paling lama berkhidmat itu tidak lagi berlapik dalam
menghamburkan asakan demi asakan kepada Najib.
Pada sidang media sama, Dr Mahathir turut menyifatkan
Najib tidak layak menjadi perdana menteri kerana gagal menjelaskan lokasi dana
kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kenyataan itu dilontar Dr Mahathir di sebalik ungkapan
sinisnya yang beliau bersimpati dengan Najib berhubung isu jambatan bengkok
menghubungkan Johor Baru dan Singapura yang tidak diteruskan."Saya tak akan sarankan penyingkiran seorang
perdana menteri semata-mata kerana beliau takutkan Singapura untuk membina
jambatan.
"Saya simpati dengannya kerana beliau sangat
lemah, jadi beliau tidak boleh bina jambatan.. "Kerana itu, saya maafkan dia. Tetapi apabila
kamu menghilangkan wang dan tidak boleh jelaskan ke mana perginya wang itu,
saya rasa kamu tidak layak jadi perdana menteri," kata Dr Mahathir.
Kenyataan terkini Dr Mahathir ini juga menandakan
perseteruan di antara beliau dan Najib memasuki fasa baru apabila gesaan agar
Umno menjatuhkan Najib dibuatnya secara terbuka. Sebelum ini, kritikan Dr Mahathir ditumpukan kepada
prestasi Najib - yang antara lain menurutnya terbukti gagal sewaktu mengetuai
Barisan Nasional (BN) Selangor pada PRU lalu.
Dr Mahathir berkata, Najib kerap kali tidak menjawab
soalan berkenaan pengurusan wang negara yang diajukannya. Tekanan ke atas Najib juga turut meningkat apabila Dr
Mahathir mula campur tangan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa
Shaariibuu yang dilakukan dua bekas polis yang pernah bertugas mengiringi
Najib.
Dr Mahathir bertemu dengan ibu salah seorang polis
tersebut, Sirul Azhar Umar, yang dihukum gantung tetapi kini berada di
Australia untuk berlindung daripada hukuman itu. Beliau dilaporkan akan ke Australia untuk bertemu
Sirul selepas ini dan mendapat maklumat tambahan berkenaan pembunuhan yang
didakwa bekas anggota Unit Tindakan Khas itu, dilakukan "menurut
arahan".
Sementara itu, mengulas perkara berbeza, Dr Mahathir
sekadar menjawab "tidak tahu" apabila ditanya wartawan tentang
cadangan agar beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah
membentuk pasukan memimpin Malaysia dan menyingkirkan Najib daripada terus
menjadi perdana menteri.
Cadangan itu diajukan bekas menteri yang
bertanggungjawab hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dalam blognya. – TMI/18 April, 2015
0 comments:
Post a Comment