Sponsor

Thursday, April 16, 2015

Tun Mahathir Tidak Keseorangan Lagi,..!.. Ibrahim Ali Muncul Sebagai Pembela..?

Datuk Ibrahim Ali hari ini menyelar sikap sesetengah pihak yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mempersoalkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, mengatakan bekas perdana menteri itu merupakan anugerah diberikan Allah kepada Malaysia. Ibrahim berkata ini kerana walaupun sudah tua, Dr Mahathir tetap memberikan teguran kepada kerajaan walaupun tidak mempunyai apa-apa kepentingan. “Kalau ada orang kata Dr Mahathir ‘diam, kamu orang tua, masa kamu sudah tamat’, ini semua karut.
“Sebenarnya Tuhan beri anugerah pada Malaysia. Kalau dahulu Dr Wan Azizah kata Anwar anugerah Tuhan. Sebenarnya anugerah Allah kepada Malaysia ialah Dr Mahathir. Dia permata negara," katanya merujuk kepada kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail satu ketika dahulu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Macam sekarang orang kata dia ada kepentingan. Dia ada kepentingan apa? Dia tak mahu jadi perdana menteri lagi,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.
Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, teguran Dr Mahathir kepada kepimpinan Najib bukanlah mempunyai agenda tertentu tetapi ikhlas membetulkan perkara yang salah.
Katanya, golongan yang melemparkan kritikan kepada Dr Mahathir perlu mencerminkan diri mereka kerana bekas perdana menteri itu bertaraf pemimpin antarabangsa. “Kalau dia (Dr Mahathir) hendak jaga anak dia, dia tidak patut buat bising, dia patut sokong Najib. Kenapa dia buat bising?
“Ya, Dr Mahathir ada kelemahan, ada juga benda yang dia buat tidak berjaya seperti Perwaja, tetapi tidak sedikit kejayaan yang dia cipta. “Siapa terfikir boleh wujud Putrajaya ganti Kuala Lumpur? Siapa fikir Menara Berkembar Petronas? Siapa fikir Malaysia boleh ada industri automobil,” katanya.
Ibrahim berkata semakin teruk kritikan diberikan kepada Dr Mahathir maka ia akan menyebabkan kepimpinan Najib menjadi semakin lemah.
Katanya, Dr Mahathir mempunyai pengikut yang ramai dan serangan berterusan kepada bekas perdana menteri itu akan menjadi imej Najib bertambah buruk.“Bila orang ini bantai Dr Mahathir bukan-bukan, orang di luar sana memikirkan orang ini diupah. Maknanya tidak menguntungkan Najib.“Ingat Dr Mahathir tidak mempunyai ramai pengikut. Siapa mereka hendak kritik Dr Mahathir? Beliau termasuk dalam kategori pemimpin hebat dunia. Kita tidak boleh nafi,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan negatif yang mendakwa serangan Dr Mahathir mempunyai ‘udang di sebalik batu’, Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sedemikian. Katanya, Dr Mahathir juga tidak pernah meminta Perkasa untuk menyatakan sokongan dan ia menjadi kelaziman bekas perdana menteri itu ketika menerajui kerajaan. “Dr Mahathir bukan jenis orang yang macam itu. Saya menafi sekeras-kerasnya. Walaupun saya baik hubungan dengan Dr Mahathir, beliau tidak pernah kata ‘saya hendak Perkasa sokong saya, buat acara minta sokongan’.“Dr Mahathir ini sifatnya pemalu sebagai seorang pemimpin,” katanya yang mendedahkan Dr Mahathir tidak berkecil hati walaupun presiden Perkasa itu enggan memberikan sokongan ketika peristiwa Umno berpecah suatu ketika dahulu. – TMI/16 April, 2015.

0 comments:

Post a Comment

http://penburukonline.blogspot.my/