Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri
Annuar Musa hari ini berkata, PAS adalah tulang belakang kepada komponen parti
dalam Pakatan Rakyat (PR) meskipun kemelut menteri besar Selangor sebelum ini
menyaksikan parti Islam itu bertelagah dengan DAP dan PKR. Annuar berkata, lebih baik PAS bersama dengan Barisan
Nasional (BN) daripada terus dibuli rakan-rakan dalam PR.
"PAS marilah duduk bersama
BN," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat Parlimen,
Kuala Lumpur hari ini.
"PKR dan DAP buli PAS, turut
buli bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka lupa kekuatan DAP
dan PKR datang daripada PAS," katanya.
Kenyataan itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Shah
Alam Khalid Samad yang bangun dan menegaskan PAS tidak akan "termakan
umpan" yang dihulurkan Umno untuk menyertai BN. "Ucapan Ketereh amat melucukan, macam nak cuba
beri umpan. Beliau kata kita orang lama, minta maaf Ketereh, kita tidak
termakan umpan," kata Khalid ketika membalas hujah daripada Annuar.
Annuar kemudiannya memuji PAS kerana mempunyai
pendirian yang teguh meskipun diasak kepimpinan DAP dan PKR. "PAS tidak akan hancur kerana mereka istiqamah
dalam perjuangan mereka, yang hancur parti lain," kata Annuar.
Khalid kemudian bangun sekali lagi dan menegaskan
kebersamaan PAS bersama PR berjaya menjadikan sokongan mereka meningkat
sehingga 52% ketika pilihan raya umum 2013.
"Apa nak bangga sangat dengan 52%, kalau orang
buli," kata Annuar.
"Saya tidak salahkan Shah Alam, beliau tidak tahu,"
kata pemimpin Umno itu.
Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz
sebelum ini melalui akaun Facebook miliknya mengakui PAS menjadi mangsa buli
DAP dan PKR rentetan isu di Selangor berhubung isu menteri besar dan pemecatan
ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini.
Anak Mursyidul Am PAS itu berkata, jika dahulu PAS
mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam PR. "Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak
buli PAS. "Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga
tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi,"
katanya dalam tulisan akaun Facebook miliknya.
TMI/13 Oktober, 2014.
0 comments:
Post a Comment